Malaysia Dateline

Royalti 20 peratus: Kerajaan Sarawak punca kegagalan

Kegagalan pelaksanaan bayaran 20 peratus royalti minyak adalah berpunca daripada Kerajaan Sarawak sendiri.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, cadangan perjanjian telah ditawarkan kepada kerajaan negeri yang pada masa itu ialah sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) sebelum pilihan raya umum 2018.

“Namun kerajaan negeri (BN) Sarawak telah menolak cadangan perjanjian yang ditawarkan PH.

“Saya yakin dokumen perjanjian tersebut masih dalam simpanan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg,” kata Chong pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Tindakan Demokratik (DAP) di Kuching,pada Isnin.

Chong yang juga Pengerusi DAP Sarawak menambah, tawaran 20 peratus royalti minyak itu adalah bersyarat yang mana kerajaan negeri harus bertanggungjawab kepada perkara pendidikan dan kesihatan.

Selain itu, jelasnya tawaran juga membabitkan 50 peratus dari hasil kutipan cukai dipulangkan kepada Sarawak.

” Abang Johari dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menolak tawaran. Mereka hanya ingin menggunakan 20 peratus bayaran royalti itu untuk kegunaan sendiri.

“Itu bukan yang kita tawarkan dalam cadangan perjanjian dan Abang Johari telah memilih untuk mengadakan rundingan dengan perdana menteri bersendirian.

“Kita tidak tahu mengapa beliau menolak tawaran,” tegas Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis lepas di New York mengatakan bahawa pembayaran tersebut benar-benar tidak boleh berjaya.