Royalti minyak: Pas sambut baik keputusan PM

Royalti minyak: Pas sambut baik keputusan PM

Keputusan kerajaan persekutuan untuk membayar semula royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar disambut baik oleh pimpinan Pas Terengganu dengan penuh rasa kesyukuran.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu telah menghidupkan semula semangat federalisme antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri.

“Ini adalah satu langkah positif yang diambil oleh kerajaan persekutuan dengan mengembalikan hak rakyat Terengganu mengikut kandungan Perjanjian Pembangunan Petroleum PDA 1974 yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak sebelum ini namun dimungkiri Umno-Barisan Nasional (BN) mulai tahun 1999.

“Kerajaan negeri pimpinan Pas juga bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat yang akan memantau bagaimana kita membelanjakan wang royalti itu.

“Kerajaan pusat dan negeri masing-masing ada bidang tugas tersendiri, jadi kita sentiasa terbuka dalam hal (pemantauan penggunaan royalti) ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Rusila hari ini dipetik Bernama.

Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri di Kementerian Kewangan semalam memutuskan penyaluran royalti minyak sekurang-kurangnya lima peratus yang akan diberi secara terus kepada kerajaan negeri.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim pula berkata keputusan Perdana Menteri itu adalah satu langkah besar dalam mewujudkan perbezaan antara sikap BN dengan Pakatan Harapan yang sudah tentu diterima dengan rasa syukur kepada Allah SWT dan terima kasih kepada Perdana Menteri, khususnya.

“Politik diskriminasi telah merugikan kita semua dan menggagalkan usaha memberi kesejahteraan secara saksama kepada seluruh rakyat. Ia melebarkan jurang pembangunan dan perkhidmatan serta menimbulkan rasa tidak puas hati oleh layanan berbeza yang tidak menghormati hak demokratik rakyat.

“Sikap kerajaan persekutuan yang adil ini boleh merawat perpecahan dan menyatupadukan rakyat. Perpaduan boleh mempercepatkan proses pemulihan dan pembinaan negara yang lebih kuat dan baik. Semoga keputusan ini akan disusuli dengan lebih banyak khabar positif antara Terengganu dan kerajaan pusat di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat pula mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri yang telah mengembalikan semula hak rakyat Terengganu mengikut perjanjian itu.

“Semoga kerjasama di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat dapat dipertingkatkan atas semangat federalisme yang pastinya bakal memberi manfaat kepada rakyat negeri ini,” katanya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote