Malaysia Dateline

Royalti minyak: PH perlu saran kerajaan Kelantan kemuka perancangan salur perbelanjaan

Kerajaan Persekutuan perlu menyarankan kepada kerajaan  Kelantan agar dapat mengemukakan perancangan perbelanjaan bagi agihan royalti minyak oleh Kerajaan Persekutuan  bagi memastikan agihan yang disalurkan akan dapat dinikmati oleh semua rakyat di negeri itu.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Hazmi Hassan berkata, selain itu kerajaan Kelantan perlu menubuhkan koperasi sebagai satu badan yang akan mengawal selia wang royalti minyak ke negeri itu.

“Kerajaan PH harus meminta kerajaan Kelantan kemukakan perancangan  perbelanjaan royalti.

“Kita tidak mahu wang royalti ini digunakan untuk kepentingan tertentu sahaja dan ianya perlu disampaikan kepada semua segmen masyarakat di Kelantan tanpa mengira latar belakang politik mereka,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas cadangan Ketua Pemuda Armada Kelantan Asran Alias, semalam, yang mahu wang royalti disalurkan terus kepada  Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK).

MPPK merupakan sebuah agensi yang rapat dan menguruskan secara terus  hal ehwal rakyat di peringkat kampung dan mukim.

Asran berkata, MPKK di negeri ini sangat berperanan untuk  menguruskan wang royalti memandangkan terdapat keanggotaan daripada  negeri dan Pusat.

Ditanya apa yang membezakan sekiranya wang royalti diserah kepada pengurusan MPPK berbanding sebuah koperasi?

Hazmi berkata, Pemuda AMANAH lebih menyakini melalui sebuah koperasi yang ditubuhkan kelak semua rakyat Kelantan tidak kira latarbelakang politik boleh menikmati royalti tersebut.

” Model koperasi ini mengambil contoh di negara Jepun. Beza antara MPKK dan koperasi ialah koperasi ada segmen pembangunan ekonomi dan pelaburan.

“Manakala MPKK ianya perbelanjaan hangus,” jelas Naib Ketua PH Kelantan ini lagi.

Difahamkan MPKK hanya memberi fokus kepada infrastruktur, keceriaan, perpaduan, anak muda dan wanita.

Dengan mewujudkan koperasi ia lebih telus kerana melibatkan rakyat lebih-lebih lagi kerajaan Kelantan dakwanya berbelanja hanya mengikut kepentingan parti yang disokong rakyat.

Beliau juga berkata, sebelum ini Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan Datuk Husam Musa pernah mengemukakan penubuhan koperasi bagi menyalurkan agihan royalti kepada rakyat Kelantan.

Bagaimanapun ujarnya, cadangan itu tidak disambut baik oleh kerajaan negeri Kelantan.