Royalti petroleum dan gas perlu diperhalusi, kata Menteri Ekonomi

Royalti petroleum dan gas perlu diperhalusi, kata Menteri Ekonomi

Mekanisme pembayaran 20 peratus royalti petroleum kepada negeri pengeluar minyak dan gas akan dibincangkan serta perlu diperhalusi oleh kerajaan serta syarikat Petroliam Nasional Bhd (Petronas) untuk mencapai kata sepakat, kata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan sudah mengkaji kewajaran usaha ini dalam memenuhi prinsip pengagihan kekayaan yang lebih adil.

“Mengikut kefahaman Pakatan Harapan (PH), cadangan menambah jumlah royalti petroleum kepada 20 peratus adalah berdasarkan keuntungan Petronas selepas cukai dan bukan daripada jumlah hasil pengeluaran kasar.

“Namun demikian, cadangan (meningkatkan 20 peratus royalti) ini tidak dapat dilaksanakan segera kerana ianya bercanggah dengan Akta Pembangunan Petroleum (PDA 1974) kerana pengiraan adalah berdasarkan untung kasar dan bukannya atas untung bersih,”” katanya dan menjelaskan bahawa PH sudah membuat analisa struktur kos pengeluaran petroleum oleh Petronas

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Panglima Madius Tangau (UPKO-Tuaran)di persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohamed Azmin berkata, sekiranya penambahan royalti petroleum kepada 20 peratus hendak dilaksanakan, ia memerlukan pindaan ke atas PDA 1974.

Beliau juga berkata, sekiranya Petronas dikehendaki menambah jumlah royalti petroleum kepada 20 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar petroleum kepada negeri pengeluar minyak, ianya akan memberi implikasi yang serius terhadap kedudukan kewangan Petronas dan Kerajaan Persekutuan.

“Kementerian Hal Ehwal Ekonomi sedang meneliti perkara ini terutama yang membabitkan fungsi serta bidang kuasa agensi berkaitan dan berkepentingan seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Petronas.

“Ia bagi memastikan pembahagian royalti petroleum adalah adil dan telus dengan mengambil kira implikasi kewangan kepada negara termasuk kesan kepada hasil kerajaan, industri dan rakyat,” katanya.

Katanya, pada masa ini, Petronas perlu membayar sebanyak 10 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar minyak dan gas secara tunai atau lebih difahami sebagai royalti kepada Kerajaan.

“Daripada jumlah ini dan bergantung kepada di mana hasil berkenaan dikeluarkan, sejumlah lima peratus akan diterima masing-masing oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berkaitan,” kata Mohamed Azmin.

Beliau berkata, Petronas lazimnya membuat pembayaran dua kali setahun kepada kerajaan iaitu pada bulan Februari dan Ogos.

Bayaran tunai sejumlah 10 peratus adalah nilai kasar setong pada harga pasaran dan adalah bayaran yang dibuat tanpa perlu mengambil kira sama ada pengeluaran minyak dan gas daripada lapangan berkenaan menguntungkan ataupun tidak, kata Mohamed Azmin.

Mengikut keadaan semasa, daripada nilai setong berkenaan, sejumlah 70 peratus daripada hasil pengeluaran kasar minyak dan gas adalah kos pembiayaan pengeluaran yang perlu dibiayai, menurut Mohamed Azmin.

Katanya, kos berkenaan sudah mengalami peningkatan yang signifikan dari tahun ke tahun disebabkan oleh kerumitan dan risiko yang semakin tinggi dalam proses mencari gali minyak dan gas di lautan.

Bagi pengeluaran yang membabitkan lapangan laut dalam, Mohamed Azmin berkata, kos ini boleh mencecah sehingga 80 peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar.

“Selepas ditolak royalti sebanyak 10 peratus dan kos pengeluaran sekitar 70 peratus, baki sekitar 20 peratus lagi adalah keuntungan yang akan dikenakan cukai,” katanya.

Tambah beliau lagi, Petronas dan pengusaha lain perlu membayar Cukai Pendapatan Petroliam atau Petroleum Income Tax Act (PITA).

PITA dikenakan pada kadar 38 peratus dari keuntungan kasar minyak dan gas.

“Berdasarkan anggaran keuntungan 20 peratus, jumlah PITA yang perlu dibayar dianggarkan sebanyak lapan peratus daripada jumlah hasil pengeluaran kasar.

“Baki selebihnya iaitu sebanyak 12 peratus dari jumlah hasil pengeluaran kasar minyak dan gas ini adalah keuntungan yang akan dikongsi bersama antara Petronas dan pengusaha lain berdasarkan perjanjian yang dimeterai bagi sesebuah kontrak pengeluaran yang terbabit,” katanya.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote