Royalti telaga minyak Bertam: T’ganu tunggu keputusan persempadanan

Royalti telaga minyak Bertam: T’ganu tunggu keputusan persempadanan

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman hari ini menafikan kerajaan melengah-lengahkan tuntutan royalti telaga minyak Bertam.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan negeri masih menunggu keputusan persempadanan telaga minyak itu sama ada ia milik sah Terengganu atau Pahang.

“Persempadanan ini masih diteliti oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia, apabila sudah tahu keputusan barulah boleh diteruskan tuntutan (royalti),” katanya dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Azan Ismail (PKR-Bandar) yang mahu tahu kenapa kerajaan negeri begitu lewat mendapatkan hak pemilikan telaga minyak Bertam yang boleh menambah sumber kewangan negeri dalam masa yang singkat.

Ahmad Razif juga berkata royalti lima peratus daripada telaga minyak Bertam adalah sekitar RM9 juta hingga RM10 juta.

“Buat pengetahuan sidang dewan dan hadirin sekalian, pada tahun ini untuk penerimaan kali pertama, kita telah menerima wang royalti daripada kerajaan persekutuan sebanyak RM550 juta.

“Sepatutnya kita terima RM500 juta seperti yang telah dipersetujui, namun Kementerian Kewangan bagi kita lebih RM50 juta… inilah hasil rundingan dan hubungan baik antara Terengganu dengan persekutuan, bagaikan hubungan ayah dan anak,” katanya.

Menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS-Rhu Rendang) mengenai tindakan kerajaan negeri bagi menampung defisit Bajet 2017 sebanyak 10 peratus, Ahmad Razif berkata kerajaan negeri telah memperkasakan kutipan dan tunggakan hasilnya.

“Kerajaan negeri juga bercadang memperkenalkan beberapa cukai dan premium untuk beberapa perkara bagi meningkatkan hasil negeri.

“Langkah pengawalan perbelanjaan yang ditetapkan kepada semua jabatan juga mampu menampung defisit Bajet itu,” katanya.

Di bawah Bajet 2017, Terengganu dijangka berbelanja RM1.867 bilion dengan jangkaan hasil pula RM1.697 bilion.

TAGS