Malaysia Dateline

RSY bukan alat sebar pengaruh politik, kata Yadim

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menegaskan Rakan Siswa Yadim (RSY) tidak akan menjadi alat menyebarkan pengaruh politik di sekolah mahupun di universiti.

Yadim dalam kenyataan hari ini berkata, ini kerana pentadbiran Yadim kali ini melihat misi untuk melahirkan golongan muda yang berketrampilan dan berakhlak mulia adalah sangat luas dan agenda politik hanya akan membataskan inklusiviti misi ini.

“RSY akan terus memberi fokus kepada program yang berteraskan pendidikan manakala selaras dengan penjenamaan kali ini, penekanan yang lebih akan diberikan untuk merapatkan hubungan sesama kaum,” ujar kenyataan itu.

RSY yang sudah diperkenalkan sejak 2013 itu sebelum penjenamaan semula oleh pentadbiran baharu Yadim, telah melakukan penambahahbaikan hala tuju dan tatakelolanya.

Justeru dakwaan bahawa RSY tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini amatlah membingungkan, sedangkan menurut kenyataan itu lagi, peruntukan daripada ICU JPM yang mendapat kelulusan Perdana Menteri telah disalurkan kepada Yadim bagi tujuan tersebut sejak tahun 2014 lagi.

“Yang Di-Pertua (YDP)Yadim pada masa itu boleh mengesahkan hakikat ini.

“Sekiranya inisiatif seperti ini telah wujud sebelum ini, wajarkah jika dianggap Sahabat Yadim (sebelum ditukar RSY) pada ketika itu adalah alat menyebar pengaruh pihak tertentu?

“RSY tidak sama sekali akan digunakan untuk tujuan menyebarkan pengaruh politik di sekolah mahupun di universit dibawah pimpinan baharu YDP Nik Omar Nik Ab Aziz,” ujar kenyataan itu lagi.

Malah Yadim juga berpandangan selaras dengan ajaran Islam yang menganjurkan keterbukaan, keharmonian dan ketelusan yang turut menjadi asas kepada kerajaan semasa, Yadim membuka seluas-luasnya pintu dialog kepada Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism, Sikhism and Taoism (MCCBCHST) pada 29 Disember pula yang turut mempertikaikan mengenai RSY.

“Yadim sedia bertemu dan memberikan penjelasan sebenarnya terhadap inisiatif yang ingin dilaksanakan dan program-program lain yang dilaksanakan oleh Yadim.

“Lantaran daripada tiadanya sebarang agenda tersembunyi Yadim telah memohon secara rasmi kepada pihak Kementerian Pendidikan bagi melaksanakan inisiatif tersebut di institusi pendidikan menengah dan tinggi sepertimana kegiatan berpersatuan yang lain.

“RSY akan terus memberi fokus kepada program yang berteraskan pendidikan manakala selaras dengan penjenamaan kali ini, penekanan yang lebih akan diberikan untuk merapatkan hubungan sesama kaum,” ujar kenyataan itu lagi.