Rugi kalau simpan emas sampai mati, jom kenali 3 waktu terbaik untuk jual aset anda

Oleh WAN SITI AMINAH

Rakyat Malaysia yang mempunyai kesedaran mengenai kewangan pasti mengetahui kestabilan nilai emas sebagai aset pelaburan.

Tidak hanya menjamin keuntungan yang lumayan, pelaburan emas juga mampu membantu orang ramai dalam menghadapi krisis ekonomi seperti kenaikan inflasi.

Selain membeli emas pelaburan sebagai barang perhiasan, pelabur juga digalakkan untuk mendapatkan logam itu dalam bentuk bar jika mahu keuntungan yang lebih.

Namun begitu, para pembeli emas pelaburan ini pasti tertanya-tanya bilakah waktu terbaik untuk mereka menjual semula aset ‘mengunung’ yang telah lama disimpan itu.

Tidak seharusnya disimpan sehingga pemilik ‘mati’, berikut kami kongsikan tiga masa yang terbaik untuk menjual emas menurut pemilik akaun Facebook Emas Public Gold.

“Perkara asas yang penyimpan emas perlu buat sebelum mulakan simpanan emas adalah tentukan tujuan dan matlamat simpanan, sama ada jangka pendek atau panjang.

“Bila sudah ada matlamat dan tujuan yang jelas, pasti kita akan tahu bila waktu sesuai nak jual emas dalam simpanan,” jelas pemilik akaun berkenaan.

1. Kecemasan

Pemilik boleh menjual emas pada waktu darurat atau kecemasan yang memerlukan tunai segera. Hal ini kerana, emas sangat mudah dicairkan bagi mendapatkan tunai.

2. Pelaburan

Bagi mendapatkan peluang untuk menjana kentungan yang lebih lumayan, pemilik emas boleh menjual atau memajak simpanan mereka itu untuk membeli aset lain.

Dijadikan seperti modal pusingan berniaga, pelabur juga boleh membeli aset yang lebih menguntungkan sebagai contohnya, emas yang lebih berharga atau hartanah.

3. Sudah capai matlamat

Menurut pemilik akaun, pelabur emas juga boleh menjual aset mereka apabila sudah mencapai matlamat seperti yang telah ditetapkan sebelum memulakan simpanan.

Contohnya matlamat bagi mengumpulkan tabungan persaraan, tabung pendidikan anak-anak, tabung perkahwinan, atau tabung deposit beli rumah dan sebagainya.

“Jadi tanpa tiga sebab ini, amatlah tidak bijak untuk menjual emas simpanan anda. Penyimpan emas yang berilmu tidak akan menyimpan emas sampai mati.

“Hal ini kerana emas merupakan alat kewangan yang digunakan untuk kita mencapai matlamat kewangan dan bukannya sekadar ‘buy low sell high’.” Jelasnya lagi.

Baca juga: Kahwin di usia 62 tahun, Sabri Yunus dedah ada pihak tawar jadi duta produk kuat tenaga batin