Malaysia Dateline

Rugi RM1.96 juta akibat ‘scammer’, Tabung Haji minta bank bayar ganti rugi

Rugi RM1.96 juta akibat penipuan atas talian, Tabung Haji gesa pihak bank (konvesional) bertanggungjawab dalam membayar semula ganti rugi kepada mangsa terlibat.

Ini melibatkan mangsa penipuan dalam talian membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat Bersama Jawatankuasa Pilihan Khas Kesejahteraan Rakyat dan TH yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.

Rais memaklumkan jumlah kerugian akibat penipuan dalam talian TH menerusi pelbagai institusi perbankan direkodkan sebanyak RM1.96 juta.

Kehilangan duit tersebut dikatakan akibat pengeluaran wang simpanan akaun TH melalui perbankan konvesional.

“Pihak bank bertanggungjawab menentukan kaedah dan jumlah ganti rugi jika syarat pengawasan perakaunan bank terbabit dibolosi.

“Bank perlu menangani isu kehilangan wang simpanan pendeposit supaya pendeposit tidak hilang keyakinan terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Rais pada masa sama memaklumkan bahawa pihak bank (konvesional) perlu menyediakan laporan atau penyata ganti rugi kepada mangsa.

“Segala tindakan dan keputusan mesyuarat jawatankuasa akan diusulkan dalam sidang Dewan Negara akan datang,” ujarnya.

Baca juga: Apple buka cawangan pertama di Malaysia, pembeli bersorak tidak perlu berurusan dengan kerenah ‘reseller’