Malaysia Dateline

Rujuk MP Tasek Gelugor ke Jawatankuasa Khas Parlimen

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya perlu digantung sebagai Ahli Parlimen dan dirujuk ke Jawatankuasa Khas Parlimen selepas didakwa menipu dalam pengundian belah bahagi semalam.

Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegaskan, Shabudin telah melanggar Perintah tetap Dewan Rakyat (Standing Orders) dan memalukan Parlimen dengan tindakannya itu.

“Shahbudin adalah contoh terbaru rejim kakistokrasi yang telah mengambil alih kepemimpinan negara.

“Sama ada Shahbudin tidak memahami bahasa mudah dalam Perintah tetap Parlimen, atau dia ceroboh dan lalai terhadap tugas yang diamanahkan kepadanya sebagai penghitung.

“Beliau tiada kelayakan sebagai Ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi ini, pembangkang mendakwa blok kerajaan melakukan penipuan kerana menandakan Ahli Parlimen Padang Rengas, Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai hadir dan setuju dalam undi belah bahagi yang kedua semalam

Mereka juga meminta pemasyuran Timbalan Speaker, Datuk Rashid Hasnon supaya undi semalam tidak sah dan pengundian belah bahagi dilakukan semula.

Shabudin bagaimanapun dalam penjelasannya di Dewan Rakyat berkata, beliau tersilap kerana menyangkakan Mohamed Nazri berada di dalam dewan dan tiada niat untuk menipu.

Sementara itu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, peraturan mesyuarat 47 telah menetapkan apabila undi belah bahagian diadakan, penghitung hendaklah bertanya tiap-tiap ahli pihak mana yang hendak diundinya

“Shabudin harus segera dilucutkan dari kedudukannya sebagai penghitung, dan dia harus dirujuk ke Jawatankuasa Khas Dewan Rakyat,” katanya lagi.