Rukun Negara yang sebati jadikan Malaysia negara contoh

Rukun Negara yang sebati jadikan Malaysia negara contoh

Datuk Mohd Nor Manuty

Jika setiap lima prinsip Rukun Negara sebati dalam diri setiap warganegara, nescaya Malaysia akan menjadi negara contoh kepada dunia, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Datuk Dr Mohd Nor Manuty.

Beliau berkata Rukun Negara amat penting dihayati oleh setiap lapisan masyarakat terutamanya dalam memperkukuhkan perpaduan antara rakyat berbilang kaum di negara ini.

Prinsip Rukun Negara ialah Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; serta Kesopanan dan Kesusilaan.

“Kita akan dapat melihat kurangnya sentimen perkauman, kita juga akan dapat melihat permasalahan sosial yang menurun atau budaya hedonistik yang melampau-lampau akan berkurangan, pembaziran dan sebagainya.

“Kerana itu ia dipanggil rukun, apabila kita tidak ikut Rukun Negara bererti ada kepincangan dalam negara kita,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Forum “Mengisi Harapan Kemerdekaan – Agenda Bersama dan Harapan Masa Depan” anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar, di sini baru-baru ini.

Dalam mengisi kemerdekaan negara, Mohd Nor berkata penerapan makna Rukun Negara perlu diperkasakan dalam sistem pendidikan negara kerana kelima-lima prinsip itu bukan hanya untuk dihafal, tetapi juga dipraktikkan.

Bagi pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Muhamad Razak Idris pula, negara berhadapan dengan cabaran untuk memberi makna kemerdekaan kepada generasi muda yang lahir ketika negara sudah berkembang pesat.

Jika sebelum 31 Ogos 1957, rakyat menyumbang kepada negara dalam perjuangan membebaskan negara daripada cengkaman penjajah, kini cabarannya adalah membangunkan masyarakat yang berkualiti untuk mengisi kemerdekaan yang telah dikecapi, katanya.

“Kita ingin memberi sumbangan yang lebih besar kepada kemanusiaan dan membina pemikiran yang lebih luas, itu satu dalam konteks mengisi kemerdekaan.

“Isu perkauman pula masih wujud dan itu amat mendukacitakan dan tidak sepatutnya terjadi kerana ini menunjukkan kepelbagaian masyarakat kita tidak dihargai oleh sebahagian pihak dalam negara,” katanya.

Untuk itu, katanya aktiviti silang budaya melalui sistem pendidikan dan kegiatan dalam masyarakat perlu dipertingkatkan bagi menggalakkan integrasi kaum di negara ini.

— BERNAMA