‘Rumah banjir’ pun dijual RM280,000, orang ramai persoal harga tak masuk akal

Oleh ARIF ATAN

Satu laman Facebook, KL Selangor Lelong Properties memuatnaik hantaran berkenaan sebuah rumah tiga tingkat di Taman Sri Muda yang bagi orang ramai dijual dengan harga tak masuk akal.

Rata-rata warganet berpendapat rumah di Shah Alam itu yang terletak di lokasi dilanda bencana banjir buruk pada 18 Disember tahun lalu tidak wajar dijual setinggi itu.

“Sri Muda 3 tingkat kos rendah. Ramai yang mengeluh banjir.

“Masih terjual RM280,000 dari RM259,000,” kata kumpulan Facebook tersebut merujuk pada rumah yang terletak dekat Seksyen 25 itu.

Susulan itu, kebanyakan netizen terkejut dengan harga jualan di kawasan tragedi yang pernah meragut sekurang-kurangnya sembilan orang dipercayai akibat lemas itu.

Walau bagaimanapun, bagi Kok Keong Foo secara umum, katanya, harga rumah di sekitar Selangor tidak banyak turun.

Sementara itu, Dan Nee dalam nada positif berpendapat harga jualan itu mungkin satu pertaruhan yang baik untuk pelabur selain meraih perhatian media.

“Pasti kerajaan akan melakukan sesuatu untuk mengelak bencana banjir berulang,” ujarnya.

Untuk rekod, Taman Sri Muda, Shah Alam terletak di pertembungan Sungai Damansara dan Sungai Klang dengan kedua-dua sungai itu membawa muatan air dari hampir seluruh Greater Kuala Lumpur.

Banjir buruk di Taman Sri Muda banjir pada hujung tahun lalu. Foto: Allen Chee

Dalam masa sama, ada yang mempersoalkan kebenaran dakwaan rumah tersebut telah dijual dengan harga melebihi suku juta ringgit.

Menurut Suraj Raj, harga rumah di kawasan terjejas banjir itu merudum teruk menyebabkan pemilik berdepan kesukaran untuk menjual hartanah mereka.

“Ini promo tipu. Saya ada ramai saudara-mara di sana. Harga jatuh teruk. Bank pun turunkan margin pinjaman,” tambahnya lagi.

Baca juga Kaji cara baru tangani isu rumah tidak terjual dan kekurangan rumah mampu milik

Baca juga Wanita mengaku ‘nabi wanita pertama’, pakai baju menjolok mata duduk atas sejadah