Malaysia Dateline

Rumah agam dengan lima kolam renang, kelab malam termahal di Amerika terpaksa dilelong

Selepas gagal dijual pada harga AS$295 juta (RM1.23 bilion) di pasaran, sebuah rumah yang dikatakan paling mahal di Amerika Syarikat (AS) terpaksa dilelong.

Digelar The One mempunyai pelbagai kemudahan antaranya lima kolam renang, garaj besar yang boleh menempatkan 30 buah kereta dan gelanggang boling, lapor Daily Mail dipetik Utusan Online.

Rumah agam seluas 9,754 meter persegi di kawasan perumahan Bel Air itu, mampu meraih rekod jualan tertinggi dan paling mahal dalam sejarah AS. Iaitu sekiranya berjaya dijual melebihi AS$238 juta (RM997.9 juta) yang dibelanjakan hartawan, Ken Griffith untuk penthouse Manhattan pada 2019.

Pembidaan untuk hartanah mewah itu sudah bermula pada Isnin lalu menerusi firma Concierge Auctions, dan akan berlangsung sehingga Khamis.

Ia disenaraikan pada harga AS$295 juta (RM1.23 bilion), berdasarkan harga permintaan sebelum ini.

Malah ia turut dilengkapi dengan 49 bilik air, sebuah panggung wayang, dewan untuk mengadakan majlis amal, kelab malam, trek larian dan rumah tetamu.

Dilaporkan, bilik air utamanya mempunyai almari pakaian yang luas dan kolam renang peribadi.

Sementara itu, Branden Williams yang mewakili hartanah mewah tersebut, menggambarkan hartanah itu sebagai `bangunan moden terbaik’.

“Rumah itu terletak di kawasan seluas 1.61 hektar di pergunungan di Bel-Air dan ia tidak boleh dibina lagi,” katanya.

Rumah agam lima kolam renang, kelab malam termahal di Amerika terpaksa dilelong
Rumah agam itu terletak di pergunungan di Bel-Air.