Malaysia Dateline

Rumah di Rhu Rendang terbengkalai: Pembeli desak MB Terengganu campur tangan

Pembeli rumah di sebuah projek perumahan di Kampng Gong Cempedak, dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang hari ini menghantar memorandum kepada Menteri Besar Terengganu bagi mendesak campur tangan beliau.

Memorandum itu diserahkan oleh mereka kepada Setiausaha Sulit Menteri Besar, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar menjelang tengahari hari ini.

Mereka mendesak agar Samsuri yang merupakan Adun kawasan mereka campur tangan bagi menyelesaikan masalah yang berlangjutan sejak sekian lama itu.

Sebelum ini, sebuah laman web di Terengganu, Terengganufokus.com melaporkan, pembeli di sebuah projek perumahan yang terletak di Kg Gong Cempedak, dalam Parlimen Marang kesal apabila permintaan untuk berjumpa Menteri Besar bagi membantu menyelesaikan permasalahan perumahan mereka, tidak dilayan.

Sebanyak dua kali surat dihantar masing masing pada 2020 dan 2021 untuk bertemu Samsuri namun tidak dilayan oleh Adun Rhu Rendang itu sehingga memaksa mereka mengadu kepada pengerusi Pakatan Harapan Terengganu, Raja Bahrin Syah.

Raja Bahrin, bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu turut hadir dalam majlis penyerahan memorandum itu hari ini.

Berdasarkan dua surat yang dihantar kepada Menteri Besar, pembelian rumah itu dibuat pada tahun 2016 dan dijangka siap pada 2018, namun sehingga kini (2021) rumah tersebut masih terbengkalai.

Pada masa yang sama, pinjaman perumahan masih terus dibayar kepada pihak bank sehingga kini walaupun projek tersebut sudah terbengkalai, lapor laman itu.