Seorang wanita tidak pernah menyangka, insan bergelar bapak sanggup mengkhianati ibunya yang selama ini sanggup bergolok gadai demi kebahagiaan keluarga.
Lebih memburukkan keadaan, bapak wanita itu tergamak melebih-lebihkan orang luar sehingga mengabaikan ahli keluarga untuk kesenangan dan kebahagiaanya sendiri.
Berharap agar tidak kehilangan ibunya ‘di dunia’, berikut adalah perkongsian daripada Bunga Dahlia yang sudah layu mengenai penderitaan dialami oleh keluarganya.
“Assalamualaikum. Hai, nama aku Bunga Dahlia. Berusia di dalam lingkungan 20-an. Kisah ini berlaku kepada ahli keluargaku sendiri iaitu ibu. Seorang wanita yang cantik, cekal dan kuat. Cantik namanya secantik orangnya. Ibu telah menginjak umur 60-an. Ibu, senyumanmu kian pudar dari hari ke hari. AKU RINDU.
“Aku membesar dengan melihat betapa susah payahnya ibu membantu bapak dalam segala hal. Kewangan, berkorban masa dan segalanya. Ibu sanggup menggadaikan segala kepunyaannya hanya untuk membantu bapak. Dari muda sehingga kini. Aku kadang-kadang tertanya, kenapa ibu seakan tak mementingkan dirinya sendiri.
“Tidakkah ibu merasa dirinya juga berharga dan layak berbahagia. Dia berhak atas segala-galanya di dunia ini. Hampir tiap tahun usia aku meningkat, selalu terdengar ibu berkongsi hasrat mahu mengembara dihujung usianya. Menikmati hari tua yang indah bersama suami, anak dan semestinya demgan cucu-cucunya juga.
“Ibu teringin melakukan perkara yang diimpikannya bersama bapak. Berjalan, makan, minum dan perkara lain yang tak dapat dilakukan semasa muda. Dia ingin memenuhi segala impiannya yang terpendam sejak dulu. Ibu setiap harinya, hanya membanting tulang empat kerat hanya untuk membantu bapak memenuhi segala keperluan.
“Seperti makanan, minuman dan segalanya untuk keluarga kecil kami. Ibu juga telah mensia-siakan masa muda, kecantikan dan impiannya untuk membantu bapak dari pelbagai segi. Ibu bangun pagi, meninggalkan kami berdikari dan melakukan segala kerja rumah demi memcari rezeki. Ibu akan pulang ke rumah selepas jam 7 malam.
“Apa sahaja yang tak ibuku rasakan. Letih, barai dan kepenatan. Begitu rutin harian ibu demi membantu bapak. Tetapi jarang sekalilah keluhan yang aku dengari. Kecuali kata-kata semangat demi keluarga kecil kami. Sepanjang aku membesar, ibu hanya memakai baju kurung yang hampir sama setiap hari ketika hendak pergi ke kerja.
“Kalau ada baju ibu koyak di bahagian ketiak, poket atau kolar leher, mesti dia hantar ke tukang jahit untuk dipakai semula. Kalau koyak lagi, hantar balik ke tukang jahit. Jika zip kain rosak, ibu tutup dengan pin panjang yang orang dulu-dulu selalu guna. Mana yang boleh dijahit tangan, ibu akan baiki sendiri atau tampal mana yang boleh.
“Hampir semua baju kurung ibu seperti itu. Alasan ibuku mudah sahaja, ‘sayang, jadi pakailah selama mana boleh. Bapak tiada duit untuk belikan’. Sebabkan kami susah, ibu harap dapatlah memenuhi segala impiannya di hari tua bersama bapak dengan menggunakan wang pencen yang ada hanya untuk mencapai cita-citanya itu.
“Kata ibu, anak-anak kecil lagi. Jadi banyaklah komitmen yang perlu didahulukan. Ibu juga takut menyusahkan bapak jika dia meminta sesuatu. Oleh sebab itu, ibu selalu mengeluarkan semua duit yang dia ada demi sebuah keselesaan untuk keluarga kecil kami. Aku selalu melihat sedara-mara kami seakan-akan jijik dengan rumah kami.
“Mereka menjinjitkan kaki apabila ke dapur kami. Memang tak sentuh makanan yang ibu masak kerana dapur kami kotor. Kerana segan, ibu selalu meminta bapak untuk mengupah orang baiki dapur kami. Sangguplah mengeluarkan simpanan kecil yang beliau ada. Tetapi bapak selalu kata membazir dan biar sahaja dia yang buat sendiri.
“Tetapi hasilnya selalulah mengecewakan dan seperti rumah setinggan. Dipendekkan cerita, bapak telah melakukan perkara yang tidak kami duga. Dengan bangganya dia mengaku telah menikah dengan wanita lain. Wanita yang tidak akan kami selidikilah asal-usulnya. Bapak merasa dia mampu untuk menikah sekali lagi dengan wanita itu.
“Sedangkan ibu yang telah bergolok gadai dari muda hingga pencennya hanya untuk membantu bapak. Malah bapak juga mengeluarkan simpanan yang dia miliki untuk membaiki rumah wanita tersebut. Mengguna khidmat kontraktor yang mahal. Ibuku? Dia telah melakukan semuanya supaya keluarga sederhana kami tampak sempurna.
“Masa, kecantikan, impian dan semua mimpi-mimpi telahpun ibu pertaruhkan namun segalanya hanyalah sia sia! Bermula dari situlah kami kehilangan sosok ibu. Seorang ibu yang cantik, cekal dan kuat. Kami kehilangan wanita yang berimpian tinggi, miliki segala keinginan dan perempuan yang suci. Ibu telah meleburkan segala impiannya pada hari yang bapak aku mengatakan bahawa beliau telah menikah sekali lagi.
“Ibuku telah menanam segala impian dan menyerah. Tiada lagi kata-kata untuk hari tuanya, tiada lagi senyum tawa ibuku. Semua telah ibu kuburkan termasuk senyuman manisnya. Kini yang ada hanya redupan wajah yang sedih, sudah berserah dengan takdir ditentukan oleh Tuhan serta hanya mengharap belas kasih sayang dari Ilahi.
“Demi Allah kami telah kehilangan sosok ibu. Dia tak seceria dahulu, hilang semangat dan hanya sebutir-butir sahaja perkataan yang keluar dari mulutnya. Menghampar sejadah, berkomunikasi di dalam tadahan airmata kepada Tuhan. Aku amat merindui panggilan ibuku, ‘Anak cantik ibu’ atau ‘Semoga cepat sembuh sayang ibu’.
“Kami kehilangan kedua orang tua. Bukanlah kehilangan di dunia namun hilang kasih sayang dan komunikasi. Dunia kami bagai terhenti. Bapak sangatlah tertarik dengan kehidupan barunya. Hinggakan aku hampir tidak lagi mendengar perkataan ‘Sayang cantik ayah’ atau ‘Anak manja ayah’. Tipulah kalau aku kata tak rindu bapak.
“Aku tipu kalau cakap tak rindu pelukan dan ciuman bapak. Aku tipu kalau mengaku tak terkesan dengan semua ini. Tetapi sesakitnya aku rasakan, sakit lagilah ibu yang menghadapinya. Dahulu keluarga aku susah dengan kewangan dan juga kesempitan hidup tetapi kami bahagia. Cukup bahagia dengan cara keluarga kecil kami sendiri.
“Kini kami mempunyai segalanya tetapi kehilangan harta yang tak dapat dijual beli di mana-mana. Kalau masa boleh berputar kembali, aku hanya mahu kembali kepada kehidupan yang dulu. Biarlah dihina miskin, dicaci dan dikeji. Namun kami bahagia. Kami hanya ingin ibu kembali. Mahu lihat senyuman dan tawa ibu kami kembali.
“kami ingin melihat selera makannya, sikapnya yang berimpian tinggi dan senantiasa cantik di mata kami. Ibu, andai engkau membaca coretan hati ini. KEMBALILAH IBU. Tersenyum dan tertawalah seperti dahulu. Kami janji takkan persiakan semua impian ibu. Kami rindukan kamu, ibu. Tiada tokok tambah dalam cerita ini. Inilah kisah kami.
“Kami yang kehilangan kedua-dua sosok kesayangan. Mereka ada, tetapi jauh dan sukar untuk kami gapai. Inilah coretan keluarga kami di tahun ini. Aku Bunga Dahlia (bukan nama sebenar) yang sudah layu.” Kongsi wanita terbabit menerusi satu hantaran yang dimuat naik di sebuah forum atas talian.
Baca juga: Ejen insuran siap buat ‘content’ ragam pelanggan tak melayan, netizen persoal mana dapat nombor