Malaysia Dateline

Rumah Makmur Johor: ADUN pertikai kerajaan serah urusan penjualan kepada swasta

Kerajaan Johor hari ini dipersoal berkenaan dengan permohonan Rumah Makmur Johor (RMJ) di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri yang berharga RM150,000, RM250,000 dan RM300,000 telah melebihi 40,000 permohonan sedangkan jumlah unit yang dibina adalah lebih kurang 2,500 unit sahaja.

Perkara itu dinyatakan oleh ADUN Kota Iskandar, Sr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataan media beliau yang menjelaskan berkenaan urusan jualan yang diberikan kepada pemaju bukan melalui kerajaan.

“Dalam kenyataan kerajaan baru-baru ini dinyatakan jualan RMJ ini akan dibuat secara telus tetapi peliknya urusan jualannya diserahkan kepada pihak pemaju perumahan.

“Setiausaha kerajaan Johor (SUKJ) Perumahan hanya berperanan sebagai penyemak kelayakan pemohon sahaja. Dalam kenyataan tersebut juga disebut, senarai nama yang telah disahkan oleh SUKJ Perumahan sahaja yang akan melalui proses undian dan agihan.

“Persoalannya kenapa urusan penjualan RMJ (dahulu dikenali sebagai RMBJ) ini keseluruhannya tidak diserahkan kepada SUKJ Perumahan seperti mana biasa yang dilaksana kepada RMBJ selari dengan Dasar Perumahan Rakyat Johor (DPRJ).

“Tindakan kerajaan ini seolah-olah tidak yakin dengan kemampuan SUKJ Perumahan dalam mengendalikan urusan jualan RMJ atau RMBJ secara telus dan efektif,” ujarnya.

Beliau turut mempertikai jaminan kerajaan dalam memastikan urusan tersebut berjalan dengan baik serta memberi faedah kepada rakyat.

“Apa pula jaminan pihak kerajaan dalam memastikan pihak pemaju perumahan sentiasa bersikap telus dan berintegriti dalam mengendalikan urusan jualan RMJ atau RMBJ terutama dalam memastikanya sampai kepada kumpulan sasaran.

“Cukuplah pengalaman pahit yang dialami oleh rakyat Johor semasa perlaksanaan Kuota Menegak Kerajaan (KMK) dalam pengagihan RMBJ melalui parti-parti politik pemerintah sebelum Kuota KMK ini dimansuhkan semasa Kerajaan PH,” ujarnya lagi