Rumah mampu milik, belum duduk sudah belunjur

Rumah mampu milik, belum duduk sudah belunjur

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Terima kasih kepada BERNAMA yang telah melaporkan tentang titah pada istiadat pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada hari Selasa yang lalu.

Titah oleh Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfullah yang sekali lagi menyuarakan tentang rumah kediaman yang mampu dimiliki rakyat yang berpendapatan rendah dengan tajuk “Sultan Nazrin Tegur Pemaju Swasta Cenderung Bina Rumah Mewah”

Masih tidak berkesempatan meneliti titah penuh Paduka Seri Sultan Perak pada istiadat pembukaan rasmi kali ini yang ada menyentuh tentang isu perumahan rakyat dengan satu nada sedih dan bimbang berikutan pemaju perumahan swasta yang dilihat lebih cenderung memenuhi matlamat meraih keuntungan besar semata-mata sepertimana yang dilaporkan.

Kewujudan Lembaga Perumahan dan Hartanah Negeri Perak digambarkan sebagai solusi atau penyelesaian isu perumahan rakyat dengan beberapa fakta menunjukkan antara tahun 2000 dan 2014 dalam tempoh 14 tahun terdapat peningkatan harga rumah adalah sebanyak 109.6 peratus di seluruh Negara kita.

Berdasarkan Laporan Perangkaan Suku Tahun Pertama 2015 Jabatan Perumahan Negara, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia tahun 2010 menunjukkan lebih kurang 200 Ribu orang yang masih tidak memiliki rumah di Perak.

Fokus dan isu pokok serta teguran adalah kepada Pemaju Swasta yang sedang membina dan di dalam perancangan bagi membangunan perumahan terutamanya di kawasan seluruh Negeri Perak dan Syarikat Pemaju manakah yang bersedia menyahut saranan tersebut nanti?

Carian di buat melalui Portal Jabatan Perumahan Negara tentang Syarikat-syarikat Pemaju yang sedang menjalankan projek perumahaan mereka di sekitar Perak, bancian mendapati lebih kurang tujuh syarikat yang sedang membangunkan lebih daripada sepuluh projek di Perak.

Didapati kesemuanya adalah bertaraf Bukan Bumiputra yang beroperasi di sekitar Bandaraya Ipoh dan terdapat sebuah syarikat yang bertaraf Bumiputra yang tidak beroperasi di Perak iaitu Syarikat Zaman Teladan Sendirian Berhad yang berdaftar di Negeri Selangor.

Bagi syarikat di Perak seperti Total Investment Sendirian Berhad, Pinji Botanics Sendirian Berhad, Kinta Ecocity Sendirian Berhad, Energiser Properties Sendirian Berhad, Baktipadu Sendirian Berhad Dan Sri Kancil Development Sendirian Berhad kesemuanya beroperasinya di sini.

Diharapkan, syarikat-syarikat ini menyahut titah Paduka Seri Sultan Perak dan membuktikan bahawa rumah mampu milik rakyat adalah agenda utama mereka dan menjayakan perumahan rakyat yang dinanti-nantikan oleh rakyat seluruhnya dan menidakkan istilah ‘belum duduk sudah berlunjur’.

Ditunggu-tunggu, akan ada syarikat tersebut menyediakan rumah yang berharga kurang daripada RM 100 Ribu di Perak dalam tempoh terdekat ini dan Kerajaan Negeri Perak perlu mudahkan usaha ini jika Syarikat Pemaju tersebut bersedia untuk membangunkannya.

Bagi rakyat dan kami, jangan agenda rakyat ini menyepi tanpa ada berita gembira dan janji-janji ‘kosong’ serta majlis ‘perasmian’ sahaja, kesianlah rakyat yang amat memerlukan rumah mereka sendiri yang mampu dibeli dengan keringat peluh dan halal selama ini.

#Penulis adalah Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negera (AMANAH) Negeri Perak

CATEGORIES