Malaysia Dateline

Rumah mampu milik: Saranan Bank Negara selari dengan tuntutan Pemuda PH

Sebahagian saranan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyelesaikan masalah rumah tidak mampu milik selari dengan tuntutan Pemuda AMANAH dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Exco Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Ammar Atan berkata, cadangan supaya agensi tunggal ditubuhkan bagi mengendalikan hal ehwal rumah mampu milik penting bagi menyelaraskan lebih 20 agensi yang terlibat di peringkat pusat dan negeri.

Ammar Atan

Menurutnya, penubuhan pangkalan data untuk mengumpulkan maklumat dan keperluan pembeli pula akan mengatasi masalah ketidaksamaan bekalan dan permintaan rumah mampu milik.

“Rumah terlalu mahal di luar kemampuan rakyat. Kuantiti rumah mampu milik di pasaran bukan sahaja tidak benar-benar mampu milik, malah tidak mencukupi untuk memenuhi permintaan rakyat.

“Ironinya, jumlah rumah mahal makin banyak dan banyak juga yang tidak terjual,” ujarnya ketika diminta mengulas tentang laporan BNM bertajuk ‘Rumah Mampu Milik: Cabaran Dan Penyelesaian’ baru-baru ini.

Sehubungan itu, Ammar berkata, dasar bersama kerajaan pusat dan negeri perlu segera digerakkan bagi mengelak harga rumah di negara ini berteusan menjadi sangat tidak mampu milik.

“Penyelarasan dengan kerajaan negeri adalah salah satu tindakan paling penting.

“Apapun, dasar besar perlu bermula di peringkat kerajaan pusat terlebih dahulu,” ujarnya.

BNM ketika mengumumkan laporan ekonomi negara suku keempat 2017 mendedahkan hanya 255,341 rumah mampu milik siap dibina antara 2013 dan Oktober 2017.

BNM juga memberitahu jumlah kediaman tidak terjual meningkat kepada 146,497 unit pada suku kedua 2017 iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Mengulas lanjut, Ammar berkata, isu rumah tidak mampu milik turut berpunca akibat pendapatan rakyat yang tidak meningkat setimpal dengan kenaikan harga rumah dan kos sara hidup.

“Inilah menyebabkan lebih ramai rakyat tidak mampu memiliki rumah. Apabila gejala ini berlaku, keadaan menjadi semakin parah.

“Itu sebabnya, peningkatan gaji juga perlu kembali kepada landasan yang betul berdasarkan realiti ekonomi semasa.

“Ambil contoh Singapura yang mempunyai sebuah badan bebas disertai pihak kerajaan, wakil pekerja dan majikan. Mereka duduk bersama untuk menentukan kadar peningkatan gaji di pasaran,” jelasnya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Pemuda AMANAH Nasional itu juga menyeru supaya kerajaan menggalakkan pemaju menggunakan teknologi pembinaan lebih moden dengan kos efektif bagi mengurangkan kos pembinaan yang menjadi antara penyumbang kepada harga tinggi rumah di pasaran.

Sejak 25 Julai tahun lalu, Pemuda PH telah menawarkan matlamat ‘satu keluarga, satu kediaman yang sempurna’ bagi memastikan setiap rakyat atau keluarga mempunyai rumah yang baik, selesa dan selamat untuk didiami.

Gabungan Pemuda AMANAH, Bersatu, PKR dan DAP itu juga telah menyenaraikan tawaran penubuhan badan autoriti untuk mengetuai agenda perumahan mampu milik negara serta mekanisme bagi membendung spekulasi harga rumah untuk memastikan maklumat tentang bekalan rumah mampu milik benar-benar sampai kepada golongan sasaran.

Tuntutan dan saranan berkaitan rumah mampu milik itu juga seterusnya ditegaskan lagi dalam Konvensyen Pemuda PH di Subang, Selangor yang dihadiri kira-kira 400 perwakilan pada 6 Januari lalu.