Rumah Panjang di Sarawak tidak dipaksa tubuh MPKKP

Rumah Panjang di  Sarawak tidak  dipaksa tubuh MPKKP
Alli Biju

Pengerusi Jawatankuasa Dasar Rumah Panjang Negara(JDRPN), Alli Biju memberitahu, tiada paksaan masyarakat di rumah panjang bagi menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan MPKKP) di Sarawak.

Katanya, ini kerana penubuhan MPKKP adalah secara sukarela dan terpulang kepada mereka menolak penubuhan berkenaan.

“MPKK ini bukan paksaan. Ia adalah secara sukarela dan tujuannya adalah untuk menolong penduduk dan masyarakat di rumah panjang dari segi sosio ekonomi.

“Keperluannya penubuhan atau penerimaan tertakluk kepada rumah panjang atau kampung berkenaan. Bagi kita tak ada paksaan atau mesti dibuat,”katanya selepas menjadi tetamu pada Majlis Radio Televisyen Malaysia (RTM) Bersama Rakan Sinergi 2019/2020 di Auditorium Kecil, RTM Kuching, Jalan P. Ramlee semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Saratok menjelaskan, terdapat di kalangan penduduk luar bandar negeri ini menyatakan keengganan mereka menubuhkan majlis terbabit yang di bawah Kerajaan Pakatan Harapan(PH).

“Setakat ini sudah sebanyak 3,000 permohonan menubuhkan MPKK dari rumah panjang dan kampung di Sarawak diterima sekali gus sudah pun lebih separuh daripada keseluruhan 5,900 rumah panjang dan kampung yang ada di Sarawak yang layak membentuk MPKK.

“Peringkat pertama penubuhan majlis itu dijangka dirasmikan Mac depan. Justeru, saya rasa sekiranya selepas menubuhkan (banyak MPKK) dan mereka (penghuni rumah panjang yang lain) dapat melihat kebaikan di bawah MPKK ini, maka semuanya akan menerima,” tambahnya.

Alli menegaskan, MPKK memiliki struktur dan akaun bank sendiri untuk kerajaan pusat menyalurkan terus bantuannya kepada kampung dan rumah panjang terbabit.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya tidak ada menubuhkan MPKK, kerajaan pusat juga boleh mengunakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bagi tujuan tersebut.

“MPKK ialah platform Kerajaan Persekutuan menyalurkan bantuan ke peringkat akar umbi khususnya di rumah panjang di negeri ini.

“Dengan ada penubuhan MPKK diharapkan rakyat di peringkat akar umbi akan sedar yang Kerajaan Persekutuan amat perihatin terhadap mereka dan tafsiran mengenai MPKK bercanggah dengan penubuhan JKKK atau MPKK hanya bertujuan politik adalah tidak betul.

“Banyak MPKK di rumah panjang ataupun kampung yang mereka tubuh, ahli JKKK dan MPKK ini adalah orang yang sama seterusnya menyangkal tuduhan bahawa MPKK bertujuan memecah belahkan penghuni rumah panjang dan penduduk kampung,” ujar beliau.