Rumah panjang terbakar, 470 penghuni tinggal sehelai sepinggang

Rumah panjang terbakar, 470 penghuni tinggal sehelai sepinggang
Gambar hiasan

Seramai 470 orang penghuni Rumah Panjang Uma Bakung, Sungai Asap daerah Belaga, kira-kira 125km dari ini tinggal sehelai sepinggang selepas bangunan kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran pagi ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu Mohd Meramit berkata setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu dan punca kebakaran masih disiasat.

Sementara itu Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata, berdasarkan maklumat diterima dari polis Sungai Asap, Belaga, kebakaran dipercayai berlaku pada 10.45 pagi ini dengan usaha pemadaman api dilakukan dahulu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Menurutnya pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada kira-kira pukul 11.02 pagi.

Untuk rekod perjalanan darat dari bandar Bintulu ke lokasi kejadian mengambil masa sekitar lebih dua jam, dan cabaran utama penduduk di sana ialah masalah telekomunikasi.

— BERNAMA