Rumah pelacuran hanya galakkan maksiat – Mufti

Oleh MAISARAH AISYA

Tular video mengenai seorang pelakon senior yang memberi cadangan untuk menyediakan rumah pelacuran bagi pekerja asing.

Perkara tersebut tidak disenangi ramai pihak termasuklah mufti Pulau Pinang yang melihat ia sebagai sesuatu perkara untuk menggalakkan maksiat.

Apatah lagi kebanyakan pekerja asing di negara Malaysia adalah beragama Islam, jadi tiada guna membina rumah pelacuran.

Menurut Kosmo, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor melihat perkara tersebut sebagai perbuatan zina dan adalah satu jenayah amat jelik.

“Malah pekerja bukan beragama Islam sekalipun tidak sepatutnya digalakkan kepada perbuatan yang hina itu.

“Sesungguhnya tiada agama yang menyukai penganutnya terjerumus ke dalam jurang yang keji dan merosakkan ini,” katanya seperti dipetik Kosmo.

Tambah Wan Salim, seharusnya sebagai negara yang dipelopori umat Islam seharusnya menghalang perbuatan berzina ini daripada berleluasa.

”Kita juga sepatutnya mengingatkan pekerja-pekerja asing tentang bahaya melibatkan diri di dalam perlakuan yang keji ini serta kesan buruknya ke atas semua pihak.

“Mewujudkan rumah pelacuran di negara ini amat bercanggah dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang menobatkan Islam sebagai agama Persekutuan di dalam perlembagaannya.

“Para pekerja asing perlu dimaklumkan tentang hakikat ini dan mereka mestilah menghormati perlembagaan dan undang-undang negara yang memberi peluang kepada mereka mencari rezeki,” tambahnya.

Baca juga: Adam Corrie tak rasa rindu pun mahu makan daging babi, kesal netizen buat dakwaan tidak benar