Rumah PPRT roboh lagi di Batu Sapi Sabah

Rumah PPRT roboh lagi di Batu Sapi Sabah

Rumah yang dibina di bawah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) roboh lagi di negeri ini, kali ini kejadian berlaku di Kampung di Sayang, Lupak Meluas, Batu Sapi.

Rumah yang dibina di bawah projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) roboh lagi di negeri ini, kali ini kejadian berlaku di Kampung di Sayang, Lupak Meluas, Batu Sapi.

Kejadian yang berlaku pada 5 Mac lalu adalah kejadian ketujuh di kampung itu.

Nasib menyebelahi pemilik rumah, Albahuda Muksin apabila berpindah keluar dari rumah itu lebih awal apabila mendapati ada yang tidak kena dengan struktur binaannya.

Menurut Pengerusi Parti Amanah Negara Kawasan Batu Sapi Hamzah Abdullah, anggaran kos sebuah rumah PPRT yang dibina adalah RM58,000.

“Sepanjang lawatan kami ke Kg di Sayang, kami dimaklumkan sudah terdapat tujuh buah rumah yang telah roboh dengan anggaran kos sebuah rumah RM58,000. Ini bermakna sebanyak RM406,000 wang rakyat yang telah digunakan hangus begitu sahaja,” kesal beliau.

Hamzah turut mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab meluluskan projek itu kerana sehingga kini pihak kerajaan belum lagi tampil atau memberi apa-apa jaminan untuk memperbaiki rumah-rumah yang roboh.

Aktivis Amanah bertanya khabar penduduk kampung air.

“Isu utama bukanlah siapa yang harus dipersalahkan. Isu utamanya adalah keselamatan penduduk yang tinggal dalam rumah tersebut. Sehingga kini saya tertanya-tanya siapakah pihak meluluskan projek ini. Seharusnya mereka tidak boleh berlepas tangan sahaja,” tegasnya.

Sebelum ini, pada 7 Januari, sebuah rumah PPRT di Kampung Air Bokara tiba-tiba roboh ketika kenduri arwah sedang berlangsung. Kejadian itu hampir meragut nyawa dua bayi yang tercampak ke dalam laut.

Lebih malang lagi Pengerusi JKKK Kampung tersebut tidak membenarkan mereka bermalam di dewan serbaguna kampung tanpa kebenaran pejabat daerah menyebabkan mangsa terpaksa berteduh di luar dewan.

Seorang pemilik rumah PPRT yang roboh, Haji Abdullah memberitahu tidak memohon rumah PPRT yang baru kerana dimaklumkan mereka yang pernah mendapat rumah PPRT tidak lagi layak memohon.

Sehingga kini nasib tuan punya rumah yang roboh masih belum mendapat pembelaan daripada kerajaan negeri.

TAGS