Rumah Putih sahkan Trump balas surat pemimpin Korea Utara

Rumah Putih sahkan Trump balas surat pemimpin Korea Utara

Rumah Putih pada Rabu mengesahkan bahawa Presiden AS Donald Trump telah membalas sepucuk surat yang dihantar oleh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un minggu lepas namun enggan mendedahkan butirannya, lapor agensi berita Korea Selatan Yonhap.

Wakil Kim, Kim Yong Chol, telah menyerahkan surat itu kepada Trump pada Jumaat lepas ketika kedua-duanya bertemu di Rumah Putih bagi membincangkan butiran sidang kemuncak kedua yang bakal berlangsung.

“Presiden telah memberikan respons kepada surat Pengerusi Kim,” kata setiausaha akhbar Rumah Putih, Sarah Sanders dalam satu kenyataan tanpa mengulas lanjut.

Beberapa jam sebelum itu, media rasmi Korea Utara melaporkan bahawa Kim telah melahirkan rasa puas hati selepas menerima surat Trump, yang diserahkan oleh wakilnya.

Beliau dipetik sebagai memuji “cara berfikir positif” Trump dan berjanji akan mencapai matlamat bersama mereka “langkah demi langkah.”

Kedua-dua pemimpin merancang untuk bertemu pada akhir Februari di sebuah lokasi yang akan diumumkan kelak, kata Rumah Putih selepas pertemuan Kim Yong Chol dengan Trump.

Kedua-dua pihak berada di bawah tekanan untuk menghasilkan keputusan yang ketara selepas sidang kemuncak pertama di Singapura pada Jun membuahkan satu komitmen yang tidak begitu jelas ke arah “usaha” pembasmian sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea sebagai pertukaran bagi jaminan keselamatan untuk Pyongyang.

— BERNAMA