Rumah Putih tidak akan hadiri pendengaran pertama pemecatan Trump

Rumah Putih tidak akan hadiri pendengaran pertama pemecatan Trump

Rumah Putih memaklumkan Jawatankuasa Kehakiman Dewan pada Ahad bahawa ia tidak akan menghadiri prosiding pertama inkuiri pemecatan Presiden Donald Trump yang dijadual berlangsung pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua memetik surat Rumah Putih yang dihantar kepada jawatankuasa itu.

“Secara adil, kami tidak boleh dijangkakan mengambil bahagian dalam satu pendengaran sedangkan saksi belum dinamakan dan masih tidak jelas sama ada Jawatankuasa Kehakiman akan memberikan Presiden suatu proses yang adil melalui pendengaran tambahan,” kata penasihat Rumah Putih Pat Cipollone dalam surat yang ditulis kepada Jerry Nadler, pengerusi Jawatankuasa Kehakiman Dewan.

“Lebih penting, suatu jemputan kepada perbincangan akademik dengan profesor undang-undang tidak menyediakan satu proses yang bersifat adil kepada Presiden,” kata Cipollone dalam surat setebal lima muka surat itu.

“Oleh itu, dalam keadaaan ini, kami tidak berhasrat untuk mengambil bahagian dalam pendengaran anda yang berlangsung pada Rabu ini,” katanya.

Panel Nadler dijangka mengadakan pendengaran itu pada Rabu yang bertajuk “Inkuiri Pemecatan Terhadap Presiden Donald J. Trump: Alasan-Alasan Perlembagaan Untuk Pemecatan Presiden.”

Para sarjana undang-undang akan memberi keterangan kepada panel itu pada hari tersebut ketika anggota Demokrat sedang mempertimbang sama ada bukti yang muncul dalam inkuiri pemecatan selama berminggu-minggu mewajarkan penggubalan perkara pemecatan terhadap Trump.

Dalam suratnya, Cipollone menuduh Nadler, seorang anggota parlimen Demokrat yang mewakili New York, sengaja menjadualkan pendengaran itu agar berjalan serentak dengan lawatan Trump ke London untuk menghadiri sidang kemuncak NATO.

Trump turut menyelar perkara itu dan menuduh anggota parlimen Demokrat “sedang melemahkan” negara tersebut melalui Twitter.

Cipollone pula berkata Rumah Putih “mempunyai hak sepenuhnya sepenuhnya untuk memberi maklum balas selanjutnya” jika Nadler mengeluarkan lebih banyak maklumat mengenai rancangan jawatankuasa itu untuk pendengaran pada Rabu.

Anggota Dewan Perwakilan Parti Demokrat menjalankan satu inkuiri pemecatan sama ada Trump telah menyalahgunakan jawatannya dengan memaksa Ukraine melakukan siasatan yang boleh memberi manfaat kepada beliau dari segi politik.

Anggota parlimen juga sedang mengkaji sama ada anggota Parti Republikan mempunyai kaitan dengan mesyuarat Rumah Putih atau memberi bantuan kepada Ukraine untuk melakukan siasatan itu.

Jawatankuasa Perisikan Dewan menamatkan pendengaran awamnya sebelum berhenti rehat susulan Hari Kesyukuran selepas mendengar keterangan bekas pegawai dan pegawai semasa pentadbiran Trump serta menghabiskan cuti umum itu dengan menulis laporan penemuannya.

Anggota parlimen panel perisikan dijangka mengkaji semula versi draf laporan pada Isnin petang dan akan mengundi pada Selasa sama ada akan menerima pakai laporan tersebut yang akan diserah kepada Jawatankuasa Kehakiman selepas itu.

Rumah Putih enggan bekerjasama dengan siasatan itu dan mendakwa anggota parlimen Parti Demokrat telah menjalankan satu proses yang tidak adil.– BERNAMA