Malaysia Dateline

Rumah retak akibat letupan kuari berdekatan

Letupan kuari batu yang berdekatan dengan Kampung Petani Kecil batu2 ½, Minyak Beku, Batu Pahat Johor telah mengundang resah penduduk kampung tersebut.

Aktiviti kuari yang menggunakan bahan letupan tersebut telah banyak mengakibatkan kesan yang tidak baik bagi penduduk berdekatan.

Hal itu telah disuarakan oleh Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim yang mencadangkan agar pihak berkuasa memantau kerja-kerja yang dilakukan oleh kuari berkenaan.

“Saya mendapat laporan dari penduduk kampung tersebut dan dalam sesi turun padang memang saya dapati terdapat kesan-kesan terhadap letupan kuari berkenaan.

“Terdapat rumah-rumah yang retak akibat dari kerja-kerja kuari berkenaan dan ini suatu perkara yang membahayakan pihak penduduk.

“Selain itu terdapat kesan serpihan batu dari letupan kuari berkenaan yang terkesan sehingga membawa penduduk kepada risiko keselamatan,” tegasnya ketika ditemui.

Dalam pada tu tinjauan turun padang beliau telah mendapati terdapat tiga kuari yang sedang beroperasi di sekitar kampung berkenaan.

Kuari KCC, Kuari Hap Seng dan Kuari Handson adalah senarai nama tiga kuari yang beroperasi di kawasan kampung tersebut.

“Saya akan kemukakan perkara ini kepada Mesyuarat Tindakan Daerah dan saya juga telah memohon agar pihak penduduk beramai-ramai untuk membuat laporan polis ke balai berdekatan.

“Aduan mereka juga boleh dibawa ke senarai jadual Persatuan Bersatu Hak Pengguna yang ditubuhkan oleh penduduk di kawasan Dun Senggarang untuk diambil tindakan segera.

“Langkah lain yang saya buat adalah untuk memasukkan permasalahan tersebut ke soalan tulisan pada sidang Dewan Negeri (DUN) Johor pada 12 September yang akan datang,” tegasnya lagi.

Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan dicadangkan memantau keadaan serta mengambil tindakan segera bagi menyelamatkan penduduk kampung di kawasan berkenaan selain menilai semula kos kerugian yang akan ditampung oleh penduduk untuk dikenakan kepada kontraktor kuari berkenaan.