Rumah Terbuka Aidilfitri pertama kerajaan PH berlangsung esok

Selepas 15 tahun meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal kembali menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Putrajaya esok.

Berlangsung mulai jam 10 pagi hingga 4.30 petang, anggota jemaah menteri turut akan menyambut kehadiran lebih 50,000 pengunjung di Kompleks Seri Perdana.

Majlis rumah terbuka pertama kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 1 Syawal itu diadakan selepas sebulan gabungan empat parti tersebut berjaya menewaskan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan perkhidmatan bas percuma akan disediakan oleh Bas Putrajaya dari tiga lokasi bagi kemudahan orang ramai untuk menghadiri majlis itu.

Lokasi terbabit ialah di Putrajaya Sentral, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra ke Seri Perdana.

“Orang ramai boleh meninggalkan kenderaan masing-masing di tiga lokasi tersebut untuk menaiki bas yang disediakan dan dinasihatkan agar menggunakan hentian bas yang sama untuk pergi dan balik,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri Perak diketuai Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di Ipoh esok mulai jam 3 hingga 6 petang.

Di Johor pula, Menteri Besar Datuk Osman Sapian turut mengadakan majlis sama di kediaman rasmi beliau di Saujana, Johor Bahru.

 

9.3
OVERALL SCORE
: 9.0
3 user votes x 9.3
CATEGORIES
TAGS