Malaysia Dateline

Rumah Terbuka Kukup jalin hubungan persaudaraan

Mesej menyebarkan keharmonian terpancar di Rumah Terbuka Dun Kukup yang berlangsung di Permas, Pontian semalam.

Pengarahnya yang merupakan Penyelaras Dun Kukup, Suhaizan Kaiat berkata, penduduk tempatan memberikan sambutan yang amat menggalakkan.

Beliau yang juga merupakan Speaker Dun Johor berkata, majlis telah memperlihatkan pelbagai lapisan masyarakat yang hadir dan ini memberi gambaran bahawa persaudaraan bertaut utuh.

“Saya berbesar hati menyambut kehadiran para tetamu dan kita dapat lihat seluruh lapisan masyarakat yang berada di Kukup ini telah hadir serta beramah mesra sesama mereka.

“Tema persaudaraan sesama manusia perlu ditautkan dan mesej yang disampaikan adalah menumpukan ke arah perpaduan bersaudara di negara ini.

“Selain itu saya ingin mengucapkan tahniah kepada jentera yang bertungkus lumus dalam menjayakan program malam ini (semalam) sehingga kehadiran di luar jangka terjadi,” ujarnya.

Program Rumah Terbuka turut membawa gimik pelancaran pejabat Pusat Khidmat Rakyat Dun Kukup untuk Dun berkenaan.

Menurut Suhaizan, pejabat tersebut adalah salah satu mekanisme untuk masyarakat memohon bantuan dari kerajaan negeri yang akan disalurkan kepada rakyat setempat.

Pejabat itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Mahfuz Omar yang turut hadir memeriahkan program Rumah Terbuka yang bertempat di tapak pejabat berkenaan.

 

Datuk Mahfuz Omar merasmikan pejabat Pusat Khidmat Rakyat Dun Kukup