Rumah terbuka Parlimen Batu Pahat gamat

Rumah terbuka Parlimen Batu Pahat gamat

Khairuddin bergambar kenangan dengan tetamu yang hadir.

10,000 orang pengunjung yang hadir di ‘Rumah Terbuka Parlimen Batu Pahat’ yang diadakan di Dewan Seri Bayu, Senggarang telah mengamatkan keadaan sehingga menyebabkan tuan rumah perlu menyediakan lebihan makanan kepada pengunjung.

Menurut Adun Senggarang, Khairuddin A Rahim, keadaan itu di luar jangkaan beliau kerana mereka yang hadir tidak menyurut malah ada yang terpaksa menunggu giliran untuk duduk kerana kerusi telah habis digunakan.

Antara tetamu yang hadir ke jamuan Rumah Terbuka Parlimen Batu Pahat.

Menurutnya lagi, ia cukup menggambarkan bahawa Parlimen Batu Pahat selama ini telah bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri dengan masyarakat sehingga sambutan yang luar biasa telah dipamerkan semalam.

“Kita memang tidak menyangka perkara sehebat ini boleh berlaku dan mereka yang hadir semuanya telah menyapa kami dengan begitu ramah sekali.

“Saya bersyukur kerana sokongan masyarakat tanpa mengira bangsa dapat diterjemahkan dengan menghadirkan diri ke program Rumah Terbuka di Dun ini.

“Saya akan terus berusaha merapatkan diri serta mengeratkan silaturrahim antara wakil rakyat dengan masyarakat di Dun ini agar sokongan terhadap PH di sini tidak akan surut,” ujarnya ketika dihubungi.

Program yang berlangsung dari pukul 11 pagi hingga 4 petang itu turut meraikan 100 orang asnaf yang menerima sumbangan dari pihak Parlimen dan Dun di kawasan tersebut.

Turut hadir adalah kepimpinan tertinggi parti komponen PH peringkat negeri Johor dan penjawat awam yang berada di sekitar Batu Pahat.