Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DAP Sarawak 25 Januari ini

Rumah Terbuka  Tahun Baharu Cina  DAP Sarawak  25 Januari ini

Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak akan mengadakan Rumah Terbuka bersempena sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) pada 25 Januari ini.

Menurut Pengerusinya, Chong Chieng Jen, majlis tersebut akan berlangsung di bangunan Persatuan Gereja-Gereja Sarawak di Jalan Laksamana Cheng Ho bermula 10 pagi hingga 2 petang.

“Kita akan mengadakan rumah terbuka TBC DAP pada hari pertama perayaan ini yang disambut pada 25 Januari ini (Sabtu)di Persatuan Gereja Sarawak di Jalan Laksamana Cheng Ho di Kuching.

“Justeru, kita menjemput semua masyarakat tanpa mengira kaum termasuk ahli-ahli DAP untuk datang sekali gus bersama-sama memeriahkan acara rumah terbuka ini,” ujarnya.

Chong turut mempelawa semua anggota gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk menghadiri rumah terbuka tersebut.

Tambahnya, pelbagai hidangan makanan bufet dan program hiburan disediakan bagi memeriahkan acara itu nanti.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, turut hadir ke acara itu nanti ialah Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pending, Violet Yong dan Adun Padungan, Wong King Wei.

“Kami mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dan semoga rakyat Sarawak sentiasa sihat serta negeri ini terus makmur dan aman,” ujarnya lagi.