Rumah terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan 17 Feb

Rumah terbuka Tahun Baharu Cina peringkat kebangsaan 17 Feb

Lebih 15,000 pengunjung dijangka memeriahkan majlis Rumah Terbuka Malaysia bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di Dataran Centrio Seremban 2 di sini pada 17 Feb ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga Dan Kebajikan negeri Nicole Tan Lee Koon berkata majlis itu merupakan acara tahunan peringkat nasional anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

Katanya majlis itu, yang akan dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, antara lain bertujuan untuk memupuk perpaduan dan persefahaman masyarakat pelbagai kaum serta menyemarakkan semangat Malaysia Baharu.

Selain itu, ia juga mengetengahkan tradisi sambutan perayaan Tahun baru Cina di negara ini sebagai satu daripada wadah pelancongan negara.

“Pelbagai acara mesra rakyat dan perpaduan kaum diadakan bagi memeriahkan sambutan ini. Selain persembahan artis, aktiviti seperti pertandingan peragaan Cheongsam, senaman Zumba dan ‘CNY Idol’, turut diadakan sepanjang program itu berlangsung, bermula jam 8.30 pagi sehingga 10.30 malam,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Tan berkata buat julung kalinya, bersempena sambutan ini juga, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan semua anggota Exco kerajaan negeri akan mengikuti program Titik Sentuhan dengan bertemu kira-kira 300 warga emas di Pusat Aktiviti Warga Emas, Sikamat pada pukul 5 petang, 17 Feb.

Katanya pertemuan tersebut adalah untuk meraikan warga emas yang terdiri daripada berbilang kaum, agar dapat bersama-sama menikmati sambutan Tahun Baharu Cina ini.

“Dalam kita bergembira, kita juga tidak akan melupakan mereka yang kurang upaya, sebab itu kita anjurkan satu program khas ini, untuk membolehkan semua pemimpin Pakatan Harapan menyantuni warga emas di pusat tersebut,” katanya.

— BERNAMA