Malaysia Dateline

Rumah tertutup Aidilfitri tak putuskan silaturrahim

Umat Islam kini sudah memasuki minggu ketiga mengerjakan ibadah berpuasa di bulan Ramadan dan secara norma biasa sebelum ini, pada minggu sudah masuk tempoh puncak untuk persiapan menyambut 1 Syawal. Sebelum memasuki 1 Ramadan dahulu, semua mula terfikir dan gelisah bagaimana agaknya menempuh Ramadan dengan norma baharu, misalnya tiada lagi bazar Ramadan sedangkan itulah aktiviti wajib setiap petang untuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa.

Kita juga membayangkan tiada lagi majlis berbuka puasa beramai-ramai di masjid atau hotel kerana pada waktu ini juga dijadikan kesempatan untuk syarikat korporat dan para dermawan menyampaikan sumbangan kepada insan-insan yang memerlukan. Malah tidak terbayang juga bagaimana rasanya tiada solat tarawih di masjid dan surau sedangkan dari kecil sudah di didik keluarga inilah ibadah solat sunat yang istimewa kerana hanya boleh ditunaikan ketika bulan Ramadan sahaja. Usai tarawih dijamu pula dengan jamuan moreh, aktiviti tadarus al-Quran dan qiamulail.

Tetapi kini nampaknya semua sudah membiasakan diri dengan Ramadan norma baharu, bazar Ramadan sudah bertukar menjadi bazar online, pilih menu di telefon pintar dan sebelum Maghrib juadah siap dihantar ke pintu rumah. Malah dengan kebanyakan ahli keluarga ada di rumah kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada yang meluangkan masa bersama-sama menyediakan pelbagai juadah berbuka dengan air tangan sendiri dan pada malamnya satu keluarga menunaikan solat sunat tarawih di rumah sahaja. Sesuatu yang pada awalnya dulu difikirkan janggal, tetapi kini semua dapat mengadaptasi suasana baharu ini sepanjang Ramadan.

Atas sebab itu penulis merasakan umat Islam akan dapat menempuh Aidilfitri norma baharu ini dengan sebaiknya. Kerajaan sudah memutuskan tiada balik kampung untuk Hari Raya tahun ini. Tiada balik kampung maknanya ramai yang akan merasai pengalaman kali pertama ‘Dendang Perantau’ di hening pagi 1 Syawal nanti termasuk penulis juga. Mujur Kerajaan memberi sedikit kelonggaran untuk anak perantau yang terkandas untuk ziarah-menziarahi pada Hari Raya Pertama. Itupun ada syaratnya iaitu dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang sahaja pada satu-satu masa serta menjaga penjarakan sosial.

Tetapi ada baiknya juga untuk kita mempertimbangkan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada semalam yang meminta seluruh umut Islam untuk menyambut perayaan Aidilfitri secara tertutup di rumah masing-masing. Sememangnya sudah menjadi tradisi sambutan Aidilfitri adalah saat terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dengan sanak keluarga, sahabat handai serta jiran tetangga dan masyarakat pelbagai agama dan bangsa di negara ini saling kunjung-mengunjung pada hari raya. Tetapi penularan pandemik COVID-19 tidak mengizinkan tradisi ini diteruskan pada tahun ini. Usah dipandang negatif nasihat KKM kerana ia adalah satu usaha bagi setiap individu untuk melindungi ahli keluarga masing-masing terutamanya golongan yang berisiko tinggi dijangkiti wabak COVID-19 seperti warga emas.

Jika Hari Raya sebelum ini pintu rumah sentiasa terbuka untuk menyambut tetamu dari pagi hingga ke lewat malam sekalipun, kini ia diganti dengan ‘Rumah Tertutup’ buat sementara waktu. Tidak akan terputus silaturrahim atas sebab kita menutup pintu di Hari Raya dana jangan pula kita bersalah-sangka jika jiran tetangga dan saudara tidak membenarkan kita datang beraya. Kita masih boleh mengeratkan silaturrahim selain Hari Raya kerana mereka yang menjaga silaturrahim akan sentiasa dimurahkan rezeki sebagaimana sabda Rasulullah SAW “Barang siapa yang ingin dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, maka hendaklah ia menghubungkan silaturahim.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Tetapi jika ada yang sudi menerima tetamu, buat kita yang ingin berkunjung amalkan apa yang Islam sudah gariskan taktala ingin berziarah ke rumah orang. Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Hal yang demikian itu lebih baik bagimu agar kamu (selalu) ingat.” (Surah an-Nur, ayat 27)

Antara adabnya sebelum bertandang, maklumkan awal kepada tuan rumah yang kita akan datang menziarahi supaya mereka dapat melakukan persiapan rapi. Pilihlah masa yang sesuai, meminta izin sebelum masuk ke rumah, memendekkan tempoh ziarah, mengawal pandangan dan pertuturan dan memakai pakaian sopan dan menutup aurat, berniatlah pertemuan dan perpisah kerana Allah SWT dan saling bermaafan sebelum beredar. Sesungguhnya Islam menggalakkan umatnya agar berkasih sayang dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain. TAMAT

* Penulis adalah Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis.