Rumah Urut dimusnah, kelab hiburan ditutup dalam OpsBah 12

Rumah Urut dimusnah, kelab hiburan ditutup dalam OpsBah 12
Pegawai DBKL memusnahkan sebuah rumah urut dalam OpsBah di Kuala Lumpur malam Jumaat semalam.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memusnahkan sebuah rumah urut yang didapati menyalahi undang-undang dengan membuat bilik-bilik yang dipercayai untuk kerja-kerja maksiat di Kuala Lumpur.

Dalam Ops Banteras Aktiviti Haram (OpsBah) itu, DBKL juga menutup satu premis, menyita barangan di tiga premis dan mengeluarkan lima notis kepada pusat hiburan di Kuala Lumpur dalam OpsBah ke 12 untuk tahun ini kelmarin.

Antara wanita yang menawarkan khidmat seks ditangkap dalam OpsBah kelmarin.

Menurut jurucakap OpsBah itu, selain DBKL, dalam operasi bersepadu yang melibatkan 144 anggota itu, selain 83 petugas DBKL, turut terlibat adalah Polis (11), Imigresen (8), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (17), LHDN (12), Kastam (4) dan lain-lain lagi.

Dalam operasi itu, Imigresen menangkap 31 warga asing (wanita) yang menjalankan aktiviti tidak sah manakala AADK menjalankan 17 saringan air kencing dengan membuat dua tangkapan.

Tangkapan teramai adalah 27 orang warga asing (16 perempuan Vietnam, Indonesia dan Thailand serta 11 lelaki Bangladesh) di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1956/1963 pindaan 2002 kerana salah guna pas perjalanan.

Ia berlaku di sebuah kelab hiburan di Bandar Baru Sri Petaling, Kuala Lumpur. Premis itu ditutup serta merta oleh DBKL.