Malaysia Dateline

Rumah urut: Pemuda Pas didesak mohon maaf atau terima saman

Ketua Pemuda AMANAH Negeri Terengganu, Zamir Ghazali hari ini membuat laporan polis selepas dituduh membuat kenyataan fitnah terhadap kerajaan negeri berhubung pendedahannya berkaitan rumah urut yang dibenarkan beroperasi di bawah pentadbiran Pas.

Zamir dalam satu kenyataannya hari ini, mendesak agar Pemuda Pas Negeri Terengganu menarik semula tuduhan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Facebook rasmi Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu dan juga Unit Penerangan Darul Iman.

ZAMIR GHAZALI

Beliau berkata, saman fitnah akan diteruskan sekiranya tiada permohonan maaf dibuat dalam tempoh 24 jam dari Ketua Pemuda Pas Mohd Nasir Abd Razak dan Ketua Penerangan DPPNT Harun Esa.

“Kenyataan fitnah yang dibuat DPPNT dan disebarkan UPDI dalam bentuk video dan poster adalah menyeleweng dan lari dari maksud sebenar rakaman YouTube yang saya lakukan.

“Mereka menuduh kononnya saya telah menyebut ‘kerajaan Pas Terengganu memberikan lesen rumah urut maksiat beroperasi’. Sedangkan dalam video, saya secara jelas menyebut kerajaan Pas Terengganu memberikan lesen rumah urut sahaja.

“Kenyataan ini adalah selari dengan respon balas Exco Kerajaan Tempatan, Dr Alias Razak bahawa kerajaan negeri menyambung lesen rumah urut dan refleksologi dari kerajaan terdahulu,” katanya.

Pada masa sama Zamir berkata, dalam video yang dimuatnaiknya minggu lalu, beliau hanya memberi contoh bahawa ada rumah urut berlesen yang beroperasi di Negeri Terengganu di mana aktiviti tidak bermoral itu berlaku.

Buktinya menurut Zamir, beberapa serbuan polis pernah dibuat dan beberapa laporan akhbar pernah melaporkan tentang tangkapan yang dibuat di pusat urut tersebut.

Selain itu, beberapa ‘review’ pelanggan atas talian yang pernah mendapatkan perkhidmatan di tempat yang didakwa itu menunjukkan dakwaan mereka adalah benar-benar berlaku.

“Saya mendesak kedua-dua individu yang disebut nama mereka agar menarik balik tuduhan tersebut dan membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Facebook rasmi DPPNT dan juga melalui UPDI dalam tempoh 24 Jam.

“Jika tiada sebarang respon dalam tempoh yang diberi, maka saya akan memulakan tindakan saman fitnah terhadap individu berkenaan,” tegasnya.