Malaysia Dateline

Rumput Zeon Zoysia ‘hadiah’ TMJ kepada Harimau Malaya, ini fakta menarik ‘rumput bertaraf dunia’

Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim baru-baru ini ada menyatakan mahu ‘menghadiahkan’ penanaman rumput baharu di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kata TMJ, rumput jenis Zeon Zoysia itu sebagai hadiah kepada gelanggang rasmi pasukan kebangsaan, Harimau Malaya.

Jenis rumput yang sama itu juga digunakan di stadium milik Harimau Selatan, Stadium Sultan Ibrahim.

Apa istimewanya Zeon Zoysia sehingga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) pun bersedia mengeluarkan pembelanjaan menaja kos penanaman rumput itu?

Rumput Zeon Zoysia mempunyai sistem akar yang luas, pertumbuhan rizom yang kuat, dan ia menghasilkan rumput padat tebal yang pulih dengan cepat daripada kerosakan dalam ujian terkawal oleh National Turf grass Evaluation Programme (NTEP).

Rumput Zeon Zoysia ‘hadiah’ TMJ kepada Harimau Malaya, ini fakta menarik ‘rumput bertaraf dunia’
Rumput Zeon Zoysia diguna di tiga stadium utama di Asia Tenggara.

Zeon menghasilkan kurang jerami berbanding kultivar zoysia lain. Rumput ini akan sentiasa wujud dalam pelbagai jenis tanah dan mempunyai toleransi garam yang baik.

Rumput Zeon ini menghasilkan warna hijau yang menyerlah jika dibandingkan dengan rumput pada umumnya.

Rumput Zeon turut terkenal dengan tekstur yang nyaman di kaki walaupun dalam keadaan cuaca yang panas.

Oleh itu, rumput Zeon dikategorikan selamat untuk kanak-kanak serta haiwan peliharaan sekiranya diletakkan di kawasan rumah.

Di samping itu, rumput Zeon dikatakan mampu menangani keadaan cuaca ekstrem kerana ia tidak terkesan dengan cuaca panas atau sejuk yang melampau.

Sementara jenis-jenis rumput yang lain memerlukan sinaran cahaya matahari, rumput Zeon masih boleh beradaptasi dengan persekitaran, tidak kira tempat teduh atau pun terdedah matahari.

Selain itu, rumput Zeon juga tergolong dalam jenis rumput berkualiti tinggi dan hanya boleh ditanam oleh mereka yang bertauliah.

Rumput Zeon juga dikatakan mampu bertahan daripada rangga dan penyakit tumbuhan.

Walaupun dengan kualiti sedemikian, rumput Zeon ini sangat mudah diselenggara. Penggunaan air untuk menyiram rumput Zeon setiap minggu adalah sangat sedikit dan hanya memerlukan kurang dari satu kilogram baja nitrogen setahun.