Rumusan PRK: Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS akan kekal entiti berbeza

Rumusan PRK: Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan PAS akan kekal entiti berbeza

Sudah awal lagi BN dijangka menang di kedua-dua pilihan raya ini apabila berlakunya situasi 3 penjuru melibatkan BN, Amanah, dan PAS di Sungai Besar manakala 4 penjuru di Kuala Kangsar dengan menyaksikan calon bebas turut sama bertanding.

Jika ditinjau di Sungai Besar, BN memenangi 16 800 undi mengalahkan calon Amanah yang mendapat 7609 undi manakala PAS pula ditempat ketiga dengan mendapat 6902 undi. Jika dicampurkan undi AMANAH dan PAS sekalipun, parti pembangkang hanya memperoleh 14 511 undi dengan majoriti 2289 undi.

Di Kuala Kangsar pula, BN memenangi kerusi ini dengan mendapat 12 653 undi mengalahkan calon PAS dengan undi 5684 dan calon Amanah mendapat 4883 undi. Undi parti pembangkang jika dicampur antara AMANAH dan PAS 10 567 undi dengan majoriti 2086 undi.

Maka dapat diperlihatkan bahawa jika undi Amanah dan PAS dicampur sekalipun masih tidak dapat mengatasi undi BN dengan perbezaan lebih 2000 undi. Jadi bagaimana ini boleh berlaku?

Sedikit Analisis

Pertama, antara faktor yang menyumbang kekalahan parti-parti pembangkang ialah jumlah keluar mengundi yang rendah. Di Kuala Kangsar hanya 71.4% membuang undi manakala di Sungai Besar hanya 74.4% keluar mengundi. Berbeza pada PRU ke-13, Kuala Kangsar mencatatkan 84.1% keluar mengundi manakala di Sungai Besar pula 88%. Faktor penyumbang kepada jumlah yang rendah ini ialah dibuat pada bulan ramadhan yang hampir kepada hari raya yang mengakibatkan pengundi luar keberatan untuk pulang. Jumlah inilah yang biasanya dilihat dalam siri-siri pilihan raya kecil apabila jumlah yang keluar mengundi hanya sekitar 70-80 % sahaja.

Undi kaum Cina yang mengundi Pakatan Harapan nyata memperlihatkan beberapa kemerosotan. Ini bermaksud BN berjaya meningkatkan penguasaan undi kaum Cina namun masih belum lagi mengatasi undi dari Pakatan Harapan. Ini dapat ditunjukkan menerusi saingan sengit Amanah dan BN di kawasan majoriti Cina. Paling menarik di Kuala Kangsar, BN menang di Jerlun iaitu kawasan majoriti Cina paling besar di Kuala Kangsar. PAS pula tewas teruk di kawasan-kawasan Cina apabila jauh ditinggalkan BN dan AMANAH. Kegagalan PAS mendominasi kawasan pengundi Cina seperti di Sekincan adalah merupakan sebab mengapa PAS gagal mendapat sokongan di kawasan tersebut.

Manakala di kawasan majoriti Melayu, PAS berjaya bersaing dengan BN walaupun masih belum mampu mengatasi BN. Tidak dinafikan sebahagian besar undi PAS datang daripada ahli dan penyokong PAS tegar. Amanah pula tewas teruk di kawasan-kawasan majoriti Melayu di semua saluran mengundi. Mujur undi kaum Cina yang secara tidak langsung menampung undi Amanah.

Jika dilihat dari sudut kempen, terdapat beberapa kelemahan ketara yang dapat dilihat. Amanah dan Pakatan Harapan kerap membangkitkan isu-isu nasional seperti isu 1MDB, 2.6 billion dan isu jet isteri Perdana Menteri. Walaupun isu tempatan ada dibangkitkan namun ia tidak sedominan isu nasional. Ini merupakan punca mengapa Amanah gagal menambat hati pengundi kaum melayu yang banyak tinggal di kawasan luar bandar. Mereka lebih tertarik kepada isu tempatan yang dekat dengan kehidupan seharian mereka.Bagaimana pula dengan kempen Pas? Kempen Pas pula memperlihatkan kelemahan dari sudut isu-isu yang dibangkitkan. Tidak ada perkara menarik dan isu-isu penting yang dibawa oleh Pas sepanjang kempen. Pergilah ke ceramah Pas dan dengarlah secara keseluruhan ceramah tersebut. Anda akan kecewa mendengar ceramah tersebut kecuali anda penyokong dan ahli Pas tegar. Jika anda menerima bahan kempen Pas, anda akan keliru sama ada bahan kempen tersebut untuk pengundi atau ahli Pas terutamanya melibatkan isu Pas-Aamanah dan Pakatan Harapan.

Namun, PRK kali ini menunjukkan bahawa Pakatan Harapan bersatu untuk memenangkan calon Amanah selepas keretakan pakatan ini semasa PRN Sarawak. Walaupun jentera Pakatan Harapan agak perlahan pada awal kempen, namun momentum tersebut berjaya ditingkatkan pada akhir kempen. Kesatuan yang ditunjukkan oleh Pakatan Harapan secara tidak langsung memberikan keyakinan kepada pengundi.

Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh parti pembangkang kini? Nak kembali ke meja rundingan? Nak berpakat semula? Saya berpandangan bahawa tidak ada keperluan untuk Pakatan Harapan dan PAS untuk berunding semula jika mahukan pembangkang yang kuat dan bersatu. Sebab apa? Nantilah saya akan huraikan.

Bagi pihak BN pula, memang sudah dijangka bahawa pertandingan tiga penjuru akan memberi kelebihan kepada BN. Maka tidak hairanlah BN tidak rancak membuat ceramah setiap malam tidak seperti AMANAH. Namun, mereka membuat kunjungan rumah ke rumah dan memberi bantuan kepada pengundi. Adakah kemenangan ini menunjukkan bahawa kepimpinan Najib diterima? Belum tentu. Jika anda turun di kedua-dua kawasan ini, gambar Najib Razaklah yang paling sukar ditemui. Hanya gambar calon sahaja yang kelihatan.

COMMENTS

Wordpress (0)