Runding semula ECRL: Langkah tepat elak perangkap hutang China

Runding semula ECRL: Langkah tepat elak perangkap hutang China

Pemuda AMANAH Selangor memuji usaha kerajaan membuat rundingan semula dengan kerajaan China bagi mendesak tawaran yang lebih adil diberikan berhubung pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketuanya, Abbas Azmi berkata, hasil rundingan tersebut, Malaysia berjaya mengelak daripada membayar ‘pampasan kosong’ kepada China sebanyak RM21.7 bilion setelah kos ECRL dapat dikurangkan sebanyak RM21.5b.

Malah untuk perbandingan, RM21.5b adalah tiga kali ganda bajet tahunan Kementerian Kerja Raya, yang membangunkan infrastruktur awam di seluruh negara.

“Projek yang dirunding semula akan memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memperoleh manfaat, bukan semata-mata kepentingan komersial China.

“Projek itu dikenalpasti akan melalui dua negeri tambahan, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dan bersambung dengan rangkaian landasan sedia ada dari Putrajaya Sentral. Hal ini dijangka akan merancakkan sistem pengangkutan awam di samping tujuan asal meningkatkan potensi ekonomi kawasan Pantai Timur.

“Kami memuji keberanian kerajaan membuat rundingan semula ini, dalam keadaan negara-negara lain seperti Sri Lanka terperangkap dalam perangkap hutang China,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, katanya, terdapat keraguan tentang beberapa butir projek seperti harga tiket ECRL yang dijangka tinggi.

Beliau berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan solusi yang baik seperti mengembangkan perniagaan angkutan barang (fret) ECRL supaya tambang penumpang dapat direndahkan, ataupun memberi subsidi penumpang pada tahun-tahun pertama operasi ECRL.