Malaysia Dateline

Rundingan agihan kerusi BN, PN minggu depan

Pertemuan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dirancang pada minggu depan akan membincangkan beberapa perkara khususnya pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU15).

Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa berkata, mesyuarat itu yang akan diadakan di ibu negara dijangka dihadiri pemimpin utama BN dan PN.

“Rundingan pembahagian kerusi ini sudah sampai masanya untuk dibincangkan bersama dan minggu hadapan akan diadakan,” jelasnya.

Setiausaha Agung Umno itu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Covid-19 Kali Ketiga di Kampung Tokong, Ketereh semalam.

Ahli Parlimen Ketereh berkenaan memberitahu konsep perbincangan pembahagian kerusi itu akan melihat persefahaman BN dan PN di Perak sebelum ini yang dijadikan kerangka asas bagi kerjasama di peringkat nasional.

Dalam pada itu, Annuar berkata, Muafakat Nasional (MN) melibatkan Umno dan Pas sama sekali tidak akan didaftarkan sebagai satu gabungan parti politik yang akan bertanding pada pilihan raya.

“Jawatankuasa pemandu MN minggu lalu bersetuju untuk meneruskan gerakan kerjasama. Ia tidak semestinya perlu didaftarkan kerana Umno sudah berdaftar dalam BN, manakala Pas dalam PN.

“Umno masuk pilihan raya akan guna logo BN, manakala rakan kerjasamanya ialah PN. Pilihan raya ialah BN dan PN,” katanya.

Jelasnya, MN merupakan satu gerakan untuk penyatuan muafakat dan kerjasama yang tidak terbatas kepada politik selain boleh membabitkan banyak pihak.

Sehubungan itu, tambah Annuar, satu penerangan akan diberikan kepada umum untuk menjelaskan peranan MN bagi mengelak kekeliruan.

Untuk rekod, MN mulanya adalah kerjasama politik dua parti dominan Melayu Islam, Umno dan Pas yang ditubuhkan pada Himpunan Penyatuan Ummah, 14 September tahun lalu.

MN kemudiannya menerima surat persetujuan daripada Muhyiddin Yassin yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai gabungan itu, 18 Ogos lalu.

Pada masa ini, PN terdiri daripada Umno dengan 39 kerusi Parlimen sekali gus paling banyak dalam blok kerajaan itu diikuti Bersatu (31) dan Pas hanya 18 kerusi.

Pada Oktober lalu, Annuar berkata, perbincangan mengenai kemasukan Bersatu memerlukan draf memorandum persefahaman (MoU) dan piagam yang baharu, serta tidak boleh menggunakan kaedah sama dengan kerjasama antara Umno dan Pas sebelum ini.