Rundingan dengan PAS gagal, Amanah sedia tanding di dua PRK

Rundingan dengan PAS gagal, Amanah sedia tanding di dua PRK

 

Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini menyatakan kesediaan mereka bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar selepas rundingan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai beberapa pemimpin PKR gagal menemui penyelesaian dengan PAS.

Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad berkata, kegagalan itu jelas apabila Pas secara tegas telah menyatakan pendirian mereka untuk mempertahankan kedua-dua kerusi berkenaan dan mengumumkan telah menutup pintu rundingan.

“Amanah mengesyorkan PKR menerima kenyataan bahawa Pas tidak akan menarik diri dan tumpuan harus diberi untuk mengukuhkan cabaran PH di dua kerusi tersebut.

“Sudah cukup masa dan usaha ditumpukan kepada perundingan dengan Pas. Umum mengetahui bahawa Pas menolak usaha ini dan oleh itu persoalan tiga penjuru yang bakal berlaku bukan hasil kehendak dan sikap PH,” katanya pada sidang media di parlimen hari ini.

Ekoran itu, beliau turut mendesak Majlis Presiden Pakatan Harapan segera mengadakan mesyuarat bagi memutuskan parti mana yang akan mewakili Pakatan Harapan pada kedua-dua PRK tersebut.

“Amanah berpendapat, sukar bagi PKR untuk bertanding menentang PAS pada PRK ini.

“Oleh itu, Amanah bersedia untuk mewakili PH dalam kedua-dua PRK ini dan mengucapkan terima kasih kepada DAP Selangor atas sokongan terbuka mereka untuk Amanah mewakil PH di Sungai Besar,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan bahawa mesyuarat Pakatan Harapan bagi membincangkan isu PRK hari ini sekali lagi ditangguhkan kerana menunggu respon daripada PAS.

Bercakap kepada pemberita dilobi Parlimen hari ini, Wan Azizah bagaimanapun berkata mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat apabila tiba masa sesuai.

Pas sebelum ini bertegas mahu bertanding di kedua-dua kerusi tersebut dan tidak akan tnduk kepada sebarang permintaan untuk berundur daripada kedua-duanya yang disifatkan sebagai kerusi tradisi mereka.

TAGS