Malaysia Dateline

Rundingan ECRL sudah berakhir

Rundingan pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah berakhir dan ketika ini fokus hanya untuk memastikan pelaksanaannya kelak memberi manfaat kepada semua.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata ia termasuk kos pembinaan yang sudah dikurangkan dan pihak terbabit dalam pelaksanaannya nanti sudah memuktamadkan komitmen masing-masing.

“Perjanjian itu sudah ditandatangani dan saya fikir keseluruhan pendekatan sekarang adalah bagaimana untuk memaksimumkan ECRL supaya memberi faedah kepada semua negeri terbabit,” katanya selepas melancarkan sambutan Minggu Maritim Dunia 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur,hari ini seperti dipetik bharianonline.

Terdahulu, beliau mengupas berkaitan isu terbabit sebagai reaksi kepada satu prosiding di mahkamah minggu lalu, yang antara lain menyentuh mengenai pelaksanaan projek ECRL, dilaksana kononnya sebagai ‘bailout’ kepada hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Julai lalu, ECRL yang ditangguhkan, dilancarkan semula di Tapak Terowong Dungun, Rimba Bandar Bukit Bauk, Dungun, Terengganu, dihadiri Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Loke sebelum ini dilaporkan berkata, pelancaran semula ECRL bakal mewujudkan fungsi dan skop lebih besar untuk syarikat tempatan berperanan secara aktif dalam projek itu.

Pembinaan projek ECRL yang siap 15 peratus ditangguhkan sejak Julai tahun lalu dan hasil rundingan kerajaan bersama pihak pemaju mengenai kos projek serta aspek pelaksanaannya, Fasa I dan II projek berkenaan kini berharga RM44 bilion, berbanding RM65.5 bilion sebelum ini.

Projek itu kini bermula dari Kota Bahru melalui Mentakab, Jelebu, Kuala Klawang, Bangi/Kajang, Putrajaya dan berakhir di Pelabuhan Klang sejauh 648 kilomter, dipendekkan 40 kilometer daripada laluan asal sejauh 688 kilometer.