Rundingan pembentukan Kabinet masih berjalan, semua pihak perlu bersabar

Rundingan pembentukan Kabinet masih berjalan, semua pihak perlu bersabar

Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hari-hari dan minggu-minggu mendatang akan menyaksikan pembentukan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) yang pertama.

Katanya, beliau tahu ramai rakyat yang melihat proses ini dengan rasa bercampur-campur: rasa teruja, minat yang mendalam, malah berdebar-debar.

“Rundingan membentuk Kabinet masih berjalan dan saya menggesa semua pihak untuk bersabar.

“Kerajaan PH adalah kerajaan gabungan dan dipilih atas dasar itu.

“Justeru semua keputusan harus dibuat sebagai kerajaan gabungan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Nik Nazmi, beliau yakin proses ini akan dilaksanakan secara telus, adil dan dengan kepentingan negara diutamakan.

Tambahnya, beliau memahami ada banyak spekulasi tentang parti komponen baru PH.

“Keputusan sama ada menerima mereka atau tidak mesti diberikan kepada pimpinan PH.

“Namun, parti dan individu yang tidak memberikan komitmen kepada agenda reformasi dan manifesto kami tidak patut diterima masuk.

“Demokrasi yang mekar memerlukan pembangkang yang kuat. Inilah pendirian kami ketika di luar kerajaan dan ia mesti diteruskan kini apabila kami berada di dalam kerajaan,” tambah beliau.

Beliau juga menyarankan supaya Kerajaan Persekutuan dan Negeri PH memberikan Barisan Nasional (BN) dan parti-parti lain ruang dan sumber untuk berfungsi sebagai parti pembangkang.

Ujarntya, demokrasi Malaysia di ambang mencapai kematangan yang hebat dan setiap parti mesti menyokong usaha yang kita telah mulakan ini.