Malaysia Dateline

Rundingan Terus: Tamrin Tun Ghafar serah kepada peguam

Tamrin Tun Ghafar tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin yang mengaitkan beliau dengan isu ‘rundingan terus’.

Tamrin berkata, beliau tidak pasti apa tujuan menteri itu mengaitkannya dalam rundingan terus yang dibangkitkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan baru-baru ini.

“Amat mustahil bagi seorang menteri tidak tahu langsung perkara tersebut sedangkan Kementerian Kewangan hanya bertindak mengikut rekomendasi KPKT,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Jelas beliau, sebagai seorang Menteri sepatutnya beliau tidak membabitkan dan menyalahkan pihak lain di atas kegagalannya.

“Saya serahkan kepada Peguam saya untuk tindakan seterusnya,” tegas beliau.

Terdahulu, Zuraida Kamaruddin mendakwa dua projek di bawah kementerian itu yang dibuat secara rundingan terus melalui Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng.

Ia adalah projek sisa pepejal Taman Beringin bernilai RM170.3 juta dan projek sistem perisian perakaunan Century bernilai RM501,206.37.

Menurut Zuraida rundingan terus itu dilakukan antara penasihat Bumi Segar Indah, Tamrin Tun Ghafar yang merupakan penyokong tegar PH dengan Guan Eng pada 26 November 2018.