Rupanya ada ‘trick’ bagi Kuih Sagu Merah tak lembik, ikut petua Opah ini – “Confirm jernih elok!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Kuih Sagu Merah merupakan salah satu jenis pencuci mulut tradisonal yang cukup digemari oleh segenap lapisan masyarakat Melayu.

Bukan sahaja sering dijadikan menu sarapan pagi atau minum petang, Kuih Sagu ini juga dikatakan begitu popular sebagai hidangan pencuci mulut di kenduri kendara.

Walau bagaimanapun, kebanyakkan orang lebih gemar membeli ataupun menempah kuih ini daripada penjual berbanding cuba untuk menyediakannya sendiri di rumah.

Menyedari hal ini, seorang pengguna Facebook yang menggelarkan diri Opah tampil berkongsi ilmu dalam menyediakan Kuih Sagu Merah yang tidak lembik dan jernih.

“Ini sahaja yang Opah lalu buat untuk minum petang. Jadilah ya. Yang ini Opah kacau sekejap atas dapur. Selepas itu, Opah kukus. Sudah siap,” kata pemilik akaun Mas Cotek itu.

Bahan-bahan:

  • Satu cawan sagu
  • Satu cawan gula pasir
  • Tiga cawan air
  • Satu suku sudu sirap perisa ros (Opah guna Golden Lion)
  • Empat atau lima helai daun pandan (disimpul)
  • Sedikit kelapa parut
  • Garam secukup rasa

Cara-cara:

1. Letak dan campurkan air, gula, daun pandan dan sirap ros di dalam satu periuk atau kuali.

2. Kemudian, masakkan bancuhan tersebut sehingga mendidih.

3. Setelah mendidih, tambahkan sagu dan kacau rata. 

4. Apabila bancuhan sudah pekat, daun pandan yang dicampur sebentar tadi sudah boleh dikeluarkan.

5. Kemudian, sapukan sedikit minyak kepada loyang sebelum dituangkan sagu yang berwarna kemerah-merahan itu.

Opah menggunakan loyang 10×10 kerana sukatan telah digandakan.

6. Loyang berisi sagu itu sudah boleh dikukus selama 20 minit atau sehingga bancuhan bertukar jernih.

7. Setelah siap dikukus, boleh angkat loyang keluar kemudian sejukkan seketika.

8. Campurkan kelapa parut dengan sedikit garam mengikut selera anda.

9. Kuih Sagu Merah yang sudah sejuk sudah boleh dipotong petak-petak kemudian gaulkan dengan campuran kelapa parut dan juga garam.

10. Siap dan sudah boleh dihidangkan kepada seisi keluarga!

Baca juga: “Suami rela bergaduh minta aku tutup aurat, tapi dia sendiri jarang solat 5 waktu”