Rupanya bukan ‘Negaraku’ tapi lagu negeri Perak, KPM kesal influencer sebar video tanpa usul periksa

Oleh MALAYSIADATELINE

Masih ada yang bermain dengan sentimen perkauman dan menyebarkan berita tidak benar untuk menaikkan kemarahan rakyat Malaysia.

Apabila disangkal hanya permohonan maaf diberikan meskipun sedar sudah menyebarkan kebencian tanpa usul periksa.

Tular baru-baru ini seorang pempengaruh politik menyebarkan video konon lagu ‘Negaraku’ dinyanyikan bukan dalam bahasa kebangsaan di sebuah sekolah di Perak.

Dalam kenyataan dimuat naik Kementerian Pendidikan (KPM), lagu yang dinyanyikan murid sekolah tersebut adalah lagu kebesaran negeri Perak iaitu ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’ dan bukan ‘Negaraku’.

“Lagu yang dinyanyikan ini adalah simbol taat setia, kasih dan penghormatan kepada Sultan Perak Darul Ridzuan dan tradisi Kesultanan Negeri Perak.

“Video berkenaan juga secara jelas menunjukkan murid dan semua hadirin telah menyanyikan lagu ‘Allah Lanjutkan Usia Sultan’ dalam Bahasa Melayu mengikut lirik yang betul,” menurut kenyataan itu hari ini.

Pada masa sama, KPM menasihatkan orang ramai tidak cepat terpengaruh dengan fitnah yang boleh menghasut dan mengancam perpaduan serta keharmonian negara.

Baca juga: PMO, MB Selangor dan Petronas selaras bantuan insiden Putra Height