Rupanya ini cara bancuh tepung kalau nak goreng pisang, patutlah sejuk pun rangup lagi!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang penjual pisang goreng yang sudah berniaga selama hampir 20 tahun telah berjaya mencuri perhatian daripada orang ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, peniaga berkenaan sanggup membocorkan resipi rahsia bancuhan tepung goreng pisang buatannya kepada orang ramai menerusi laman Facebook.

Kata peniaga berkenaan, resepi tepung goreng pisang olahannya itu boleh digunakan untuk menggoreng makanan lain termasuklah ubi keledek, tauhu, roti dan juga kuih kasturi.

“Saya berniaga sudah lebih 20 tahun. Alhamdulillah pelanggan suka tepung goreng saya sebab rangup dan tidak berminyak. Nah, saya kongsi resepinya. Ini cara saya.

“Jangan ada yang toksik nak bandingkan dengan resepi orang lain. Cara kita tak sama. Jadi kita patut raikan perbezaan.” Katanya yang berkongsi dua versi resepi.

1. VERSI TEPUNG BERAS

  • Satu cawan tepung beras
  • Dua sudu tepung ubi
  • Satu sudu teh air kapur
  • Satu sudu teh gula untuk rangupkan tepung
  • Setengah sudu teh garam
  • Setengah cawan air
  • Pewarna kuning telur (jenis serbuk lebih lembut)

2. VERSI TEPUNG GANDUM

  • Satu cawan tepung gandum
  • Dua sudu tepung kastard
  • Dua sudu minyak
  • Satu sudu teh gula
  • Setengah sudu teh garam
  • Setengah cawan air

Untuk versi tepung gandum, pewarna tidak diperlukan kerana bancuhan tepung kastard sudah cukup untuk menghasilkan pisang goreng yang berwarna kuning.

Bancuh kesemua bahan atau kisarkan sahaja. Namun perlu diingatkan, air perlu dimasukkan terlebih dahulu sebelum tepung supaya tidak melekat pada jag pengisar.

CARA MENGGORENG :

1. Panaskan minyak – betul-betul panas supaya muncul kerak-kerak di pisang seperti di dalam gambar.

2. Masukkan pisang – jangan terlalu penuhkan kuali. Apabila sudah cukup, terus terbalikkan. Ini bagi mengelakkan pisang melekat satu sama lain.

3. Kecilkan sedikit api – supaya pisang tidak rentung. Namun api tidak boleh terlalu kecil nanti tepung menjadi lemau dan serap minyak.

4. Kalau untuk roti, tidak perlu balikkan ya. Tunggu roti kekuningan dahulu sebelum dibalikkan, cukup sekali balikkan sahaja.

Baca juga: “Tak luak pun RM29 tu” – Penjual nasi kerabu terkedu pelanggan minta ‘refund’ lepas habiskan makanan