Kejadian ‘sinkhole’ rupanya beri impak kepada pasaran hartanah di KL, ini 8 perkara yang anda perlu tahu

Oleh WAN SITI AMINAH

Insiden tanah jerlus atau ‘sinkhole’ yang berlaku di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

Timbul juga persoalan mengenai keselamatan di kawasan ibu kota itu untuk diduduki malah pasaran hartanah di Kuala Lumpur turut menjadi topik perbincangan hangat.

Sehubungan itu, pempengaruh kewangan yang juga ahli motivasi dikenali sebagai Dr Azizul Azli Ahmad tampil mengupas isu tersebut menerusi akaun Facebook miliknya.

Jelasnya, kewujudan sinkhole boleh memberi impak yang signifikan kepada pasaran hartanah di kawasan itu seterusnya mempengaruhi keyakinan pelabur serta pembeli.

Menerusi satu hantaran di platform berkenaan, Dr Azizul turut menyenaraikan lapan kesan yang mungkin berlaku kepada pasaran hartanah akibat daripada kejadian sinkhole.

1. Penurunan Nilai Hartanah:

Kawasan yang terjejas oleh tanah jerlus boleh mengalami penurunan nilai hartanah. Pembeli mungkin kurang berminat untuk membeli rumah atau bangunan di kawasan yang dianggap berisiko.

2. Penangguhan atau Pembatalan Projek: 

Pembangunan hartanah baharu di kawasan terjejas mungkin ditangguhkan atau dibatalkan. Pemaju mungkin lebih berhati-hati dan memilih untuk tidak melabur di kawasan tersebut.

3. Peningkatan Kos Insurans:

Pemilik hartanah mungkin menghadapi peningkatan kos melibatkan insurans kerana risiko tambahan yang dikaitkan dengan kejadian tanah jerlus tersebut.

4. Penurunan Permintaan:

Pembeli hartanah mungkin lebih cenderung untuk mengelak daripada kawasan yang pernah berlaku tanah jerlus, menyebabkan penurunan permintaan dan penurunan harga jualan.

5. Kebimbangan Keselamatan:

Isu keselamatan mungkin menjadi keutamaan, dengan penduduk atau bakal pembeli bimbang akan keselamatan diri jika mereka tinggal atau melabur di kawasan yang terjejas.

6. Perubahan Demografi :

Kawasan yang dahulunya padat mungkin akan berkurangan. Orang mula mencari kawasan kawasan yang rendah risiko berlakunya kejadian tanah jerlus atau sinkhole.

7. Kos Pembinaan Meningkat :

Bahan binaan, kepakaran dan kos pembangunan akan meningkat jika kawasan itu ada risiko sinkhole. Pada akhirnya, pembeli yang akan menanggung kos ini semua.

8. Lebihan Penawaran: 

Sekiranya terdapat lebihan penawaran hartanah berbanding permintaan, ini boleh menyebabkan penurunan harga kepada hartanah dan seterusnya akan menjejaskan pelaburan. 

“Secara keseluruhannya, sinkhole boleh menyebabkan ketidakpastian di dalam pasaran hartanah di kawasan yang terjejas dan seterusnya mempengaruhi keyakinan pelabur serta pembeli hartanah di Kuala Lumpur.” Katanya.

Baca juga: “Unik! Kalah Miss Universe” – Rekaan baju kanak-kanak raih perhatian ramai