Rupanya Mawla Amin ada 2 kerakyatan, tiada kaitan langsung dengan Sharif Idrissi di Maghribi

Oleh MAISARAH AISYA

Ramai terpengaruh dengan individu yang mengaku dirinya adalah keturunan Nabi Muhammad SAW, Mawla Amin juga mempunyai ramai pengikut di Malaysia.

Bukan hanya rakyat biasa malah pendakwah media sosial dan orang kuat agama turut mengagungkan individu tersebut.

Bagaimanapun Kementerian Luar Negeri Maghribi sudah mengesahkan Mawla Amin atau nama sebenarnya Muhammad Mohamed Amin Ouradji bukan warganegara Maghribi.

Menurut portal Hespress melaporkan, lelaki itu juga tidak ada kaitan langsung dengan Sharif Idrissi di Maghribi.

“Mohamed Amin Ouradji dilahirkan di Algiers, Algeria pada 1984 dan berhijrah ke Perancis bersama keluarganya,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan atas permintaan Kementerian Luar Malaysia yang ingin mendapatkan pengesahan taraf kewarganegaraan lelaki berkenaan.

Pegang dua kerakyatan

Sementara Morocco World News melaporkan, Kementerian Luar Negeri Maghribi mengeluarkan satu kenyataan kepada Kedutaan Malaysia pada September 2023.

Kenyataan tersebut menjelaskan individu berkenaan ketika lahir dinamakan Habib Mohamed Amin Ben Sayed EL Idrissi El Hassani, memegang dua kerakyatan iaitu Perancis dan Algeria.

“Salinan kenyataan yang diedarkan dalam talian menunjukkan lelaki itu ke Maghribi buat kali pertama pada 30 Oktober 2006, dan terus menetap di Maghribi, Perancis, Malaysia, Indonesia dan Yaman.”

Kahwini wanita Maghribi

Bukan setakat itu, Mawla Amin menikahi wanita warga Maghribi pada 2014 dan cuba menukar namanya.

Tambah kenyataan tersebut, lelaki itu juga cuba mengambil kesempatan daripada reputasi ulama dan sufi Maghribi untuk menipu umat Islam di Asia Selatan.

“Individu itu mendakwa sebagai warga Maghribi sedangkan dia berasal dari Algeria-Perancis,”

“Individu itu juga tidak mempunyai hubungan dengan ‘Shariff Idrissi’ atau mana-mana keturunan bangsawan, kerana dia datang ke Maghribi pada 2014 untuk tinggal bersama isterinya.

“Lelaki itu mengeksploitasi keturunan bangsawan untuk menarik pengikut,” menurut kenyataan itu.

Katanya, pihak berkuasa agama Maghribi tidak menyokong mana-mana aktiviti atau ajaran agama individu terbabit.

Media melaporkan Mawla Amin mencetuskan kontroversi di Malaysia dengan mendakwa warganegara Maghribi dan keturunan Nabi Muhammad.

Dia juga dikatakan telah menubuhkan sebuah mazhab yang kononnya menyediakan penganutnya untuk akhir zaman.

Ouradji tiba di Malaysia pada 2022 yang dibawa oleh sebuah madrasah, tetapi mendapat tentangan daripada mufti negeri kerana dokumen ‘keturunan’ yang meragukan.

Baca juga: Identiti sebenar Habib Mawla Amin terbongkar, PDRM siasat cubaan wujud ‘Kerajaan 9’