Rupanya penyerang memang sasar muka Faisal Halim, terkejut baca pendedahan sumber

Oleh WAN SITI AMINAH

Muka pemain sayap skuad Harimau Malaya, Faisal Halim memang dijadikan sasaran dalam serangan simbahan asid di sebuah pusat membeli-belah di Damansara, Ahad lalu.

Perkara itu didedahkan oleh seorang sumber dalam nada sedih dan kecewa di atas insiden yang menyebabkan kecederaan agak teruk pada bahagian belakang badan Faisal.

Menurut sumber, insiden berkenaan sudah tentu memberi kesan yang besar kepada kesihatan mental pemain kebangsaan itu untuk kembali bangkit dari episod hitam dialaminya.

Keadaan bagaimanapun boleh menjadi lebih parah jika simbahan asid dilakukan oleh penyerang terbabit malah terkena kepada anak Faisal yang masih kecil, lapor Harian Metro.

“Individu itu memang sasarkan muka Faisal (Halim) tetapi dia sempat elak. Kalaulah kena muka, berisiko kena mata dan kemungkinan besar terus tamat karier dia. Andai terjadi perkara itu, mesti akan lebih menyedihkan Faisal.

“Mungkin juga Allah mahu melindungi keluarga Faisal sebab anak dia tidak berada berdekatan dengan dia (semasa kejadian). Isteri dia pula terkena sedikit percikan di tangan. Tetapi saya tidak pasti bagaimana status (terkini) isteri Faisal.

“Individu yang menaiki motosikal dengan pakaian tutup muka itu juga sempat ucap ‘good luck’ sebelum simbah asid lalu pergi melarikan diri,” kata sumber memetik laporan Harian Metro.

Terdahulu, Faisal yang juga bintang skuad Selangor FC itu dilaporkan telah diserang oleh individu tidak dikenali sehingga badannya mengalami luka teruk selepas disimbah asid.

Seorang lagi pemain kebangsaan iaitu Akhyar Rashid turut diserang ketika menjadi mangsa samun dan didakwa kehilangan telefon bimbit dan dompet dalam kejadian yang berlaku Khamis lalu.

Namun, siasatan awal pihak polis mendapati insiden jenayah terhadap dua pemain kebangsaan yang berlaku dalam jarak masa yang dekat itu dipercayai tiada hubung kait.

Baca juga: TMJ tidak ‘duduk diam’, tampil bersuara selepas Faisal Halim dan Akhyar dianiaya