Rupanya senang je nak elak sambal merecik di dinding, ikut 7 tips ini ‘confirm’ dapur tak kotor!

Oleh WAN SITI AMINAH

Tumisan sambal terpercik di dinding dapur adalah salah satu masalah besar yang sering dihadapi oleh kaum suri rumah ketika memasak hidangan tersebut.

Apabila melihat kesan percikan berwarna merah yang mengotori dinding, pasti wujud rasa stress sehingga menjadi punca mengapa suri rumah jarang memasak sambal.

Mana tidaknya, proses mencuci bagi memastikan dinding dapur bersih daripada sisa kotoran minyak sambal ini memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Prihatin akan masalah yang dihadapi oleh suri rumah itu, seorang guru mata pelajaran sains tampil berkongsi tips bagi mengelakkan minyak sambal terpercik di dinding.

Menurut perkongsian yang dimuat naik di akaun Facebook kumpulan Majalah Sains, situasi ini berpunca daripada ketidaklarutan bahan dalam masakan, terutamanya air dan minyak.

Justeru itu, berikut adalah beberapa tip yang boleh dipraktikkan oleh suri rumah ketika menumis sambal bagi mengelakkan percikan minyak daripada mengotori dinding.

1. Kisar bahan-bahan dengan minyak. Langkah ini untuk mengurangkan kandungan air dalam tumisan.

2. Kecilkan api bagi mengurangkan tenaga kinetik molekul-molekul dalam masakan. In kerana semakin tinggi suhu, semakin tinggi tenaga kinetik pada molekul.

3. Pilih kuali kalis lekat (non-stick). Ini kerana selaput kalis lekat ini mengurangkan kadar pengaliran haba ke komponen masakan.

4. Menggunakan kuali yang lebih besar. Logiknya, saiz yang besar berupaya menampung luas permukaan percikan.

5. Jika komponen tumisan tetap mengandungi banyak air, maka tumis tanpa minyak dahulu bahan kisaran itu sehingga sebahagian air tersejat, kemudian baru masukkan minyak dan tumis seperti biasa.

6. Paling mudah, gunakan penutup periuk ketika percikan sudah mula kelihatan. Namun, disarankan menggunakan penutup periuk yang mempunyai lubang kecil bagi membebaskan wap air.

7. Menambahkan bahan berasid seperti asam jawa, cuka atau asam keping. Langkah ini boleh mempercepatkan kadar air meruap daripada masakan sekali gus proses ‘pecah minyak’ cepat berlaku.

Namun perlu diingatkan untuk tidak masukkan bahan-bahan di atas secara berlebihan kerana dibimbangi bakal mengganggu keseimbangan rasa sambal.

Baca juga: Penangan bau durian! Konduktor bas pengsan lepas pelanggan selamba bawa masuk ‘raja buah’