Rupanya tepung jenis ini penting untuk goreng ikan bilis, dijamin rangup dan tak mudah lemau!

Oleh WAN SITI AMINAH

Ikan bilis goreng merupakan sejenis lauk yang cukup sederhana namun sangatlah ‘berhantu’ sehingga menyebabkan nasi ditambah ke dalam pinggan berkali-kali.

Meskipun cara penyediaan hidangan ini ringkas sahaja, namun kerangupannya bukan mudah untuk dikekalkan sekiranya tidak menggunakan teknik masakan yang betul.

Hanya perlu menambahkan satu bahan, berikut adalah teknik menggoreng ikan bilis berdasarkan panduan tukang masak dan pencipta kandungan TikTok, Rizal Tomyam.

Sangat disarankan untuk dicuba, teknik ini juga tidak akan membuatkan hidangan cepat lemau atau masuk angin malah bertahan dengan lebih lama sekiranya panduan mudah itu diikuti.

Bahan-bahan:

  • 500 gram ikan bilis
  • Lima sudu besar tepung jagung
  • Minyak masak secukupnya

Langkah-langkah penyediaan:

1. Basuhkan ikan bilis anda sebersihnya hingga tiada lagi habuk yang melekat.

2. Kemudian, masukkan ke dalam penapis sebelum ditoskan supaya air basuhan benar-benar kering.

3. Selepas kering, tuangkan ke dalam bekas lain kemudian tambahkan tepung jagung pilihan anda yang telah disediakan sebentar tadi.

4. Gaulkan kedua bahan tersebut sehingga semua ikan itu disaluti dengan tepung jagung.

5. Pastikan minyak sudah panas dan masukkan kesemua ikan bilis. Api tidak boleh ditetapkan kepada suhu yang terlalu tinggi kerana dikhuatiri hangus.

6. Pastikan kesemua ikan tenggelam di dalam minyak dan gorengkan sehingga tiada lagi buih di dalam kuali agar kerangupannya lebih tahan lama.

Baca juga: Baru tahu ada petua elak jagung rebus mengecut, dijamin manis jika tambah 1 bahan ini!