Malaysia Dateline

Rusia, Turki dan Iran ikrar pertingkat usaha sama dalam proses damai Syria

Rusia, Turki dan Iran pada Khamis bersetuju dengan beberapa arahan penting berkaitan interaksi pada masa depan dalam menyelesaikan krisis Syria selepas satu sidang kemuncak tiga pihak berlangsung antara presiden mereka di bandar Sochi, Rusia.

“Adalah amat penting bagi ketiga-tiga negara kita untuk memperkukuh kerjasama dalam kerangka proses Astana, yang telah membuktikan keperluannya,” kata Presiden Rusia Vladimir Putin pada sidang media disusuli rundingan yang “konstruktif dan lugas” dengan rakan sejawat beliau dari Turki dan Iran.

“Kami akan terus mempertingkat usaha dalam memerangi keganasan, mempromosi dialog intra-Syria dan memperbaiki situasi kemanusiaan di Syria,” katanya.

Secara khusus, ketiga-tiga presiden setuju meneruskan usaha untuk membasmi militan di wilayah Idlib yang dikuasai pemberontak di Syria serta mengambil langkah tambahan bagi menghapuskan ketegangan dan mencapai kestabilan di rantau itu.

Sementara itu, ketiga-tiga negara akan membantu Syria menubuhkan satu jawatankuasa bagi melaksanakan pembaharuan perlembagaan di negara tersebut, kata Putin.

“Kami telah bersetuju untuk sama-sama berusaha ke arah permulaan kerja pantas jawatankuasa perlembagaan, yang akan berfungsi dari aspek asas sistem negara Syria pada masa depan,” katanya.

Adalah perlu untuk meluluskan senarai peserta jawatankuasa itu, kebanyakannya telah dipersetujui kerajaan dan pembangkang Syria, serta peraturan lanjut bagi parameter utama fungsinya, kata Putin.

Rusia, Turki dan Iran adalah penjamin bagi perjanjian gencatan senjata di Syria dan telah menjadi orang tengah proses damai bagi krisis Syria sejak 2016.

Putin berkata ketiga-tiga negara penjamin telah membantu mewujudkan situasi yang selesa bagi peralihan Syria ke arah perkembangan perdamaian.

“Kami yakin bahawa satu kestabilan berpanjangan di Syria hanya boleh dicapai melalui kaedah politik serta diplomatik selaras dengan resolusi 2254 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan dengan pematuhan ketat prinsip-prinsip perpaduan, kedaulatan dan keutuhan wilayah negara itu,” katanya.

Ketiga-tiga presiden turut membincangkan perkembangan lanjut situasi di Syria selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan pengunduran tenteranya dari wilayah timur laut Syria.

Mengulas pelan pengunduran tentera AS sepenuhnya dari Syria, Presiden Iran Hassan Rouhani berkata ia adalah “berita baik” untuk penduduk tempatan jika AS benar-benar mengundurkan tenteranya dari negara tersebut dan negara lain di rantau itu.

Oleh itu, beliau menggesa Washington agar mengkaji semula dasarnya di Timur Tengah, yang kini memberi pengaruh negatif ke atas negara-negara di rantau tersebut.

“Sejak 20 tahun lalu, Amerika sering memainkan peranan yang merosakkan di rantau kita: di Afghanistan, di Iraq, di Syria dan kini di Yaman… Apa yang kita harapkan ialah AS akan mempertimbang semula dasarnya terhadap rantau ini,” kata Rouhani.

Bercakap pada sidang akhbar, Presiden Turki Recep Erdogan mengulangi kepentingan menyelesaikan situasi di Idlib.

“Kami tidak mahu lagi berlaku tragedi dan krisis kemanusiaan yang baharu di Syria, atau di mana-mana wilayah atau di Idlib… Kami akan terus melakukan segala yang terdaya untuk melaksanakan memorandum Idlib,” katanya.

Erdogan menegaskan bahawa Turki akan menyelaras tindakan bersama Rusia dan Iran dalam proses pengunduran tentera AS sambil mengambil kira integriti wilayah Syria selain menghapuskan ancaman keganasan, terutama di kawasan sempadan.

— BERNAMA