Malaysia Dateline

Rusuhan dikuil: Dua lelaki didakwa cederakan orang awam

Dua rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang orang awam dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, akhir November lalu.

Pengawal keselamatan G. Daniel, 33, dan penghantar barang M. Elangovan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Nurshahirah Abd Salim.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama telah dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Sulaiman Abdullah, 32.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan kuil tersebut di Subang Jaya di sini, pada 12.30 tengah hari, 26 Nov lalu mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Elangovan turut mengaku tidak bersalah atas dua lagi pertuduhan melibatkan kes sama, di tempat dan masa sama.

Mengikut pertuduhan, dia dituduh bersama-sama dengan 50 orang lagi ahli kumpulan yang menyalahi undang-undang dan masih bebas, dengan tujuan bersama dan menggunakan kekerasan, telah menghalang laluan kenderaan kereta peronda polis untuk keluar dari kawasan kuil tersebut.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan seterusnya, Elangovan dituduh telah menghalang tugas penjawat awam iaitu pegawai kanan polis Insp. Muhamad Nazmi Zulkafli, Sjn Mohamad Faiz Abdul Rahim dan Kpl Ahmad Zamzam Mat daripada menjalankan tugas mereka.

Pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan Daniel diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin manakala Elangovan diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah yang turut menetapkan 17 Jan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Salim Soib @ Hamid, Shafiq Hasim, Amir Nasruddin dan Fairuz Johari manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Siti Rohaya Tajuddin.